PETALING JAYA: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam seharusnya menjadi peringatan kepada parti itu untuk meninggalkan politik pecah-belah dan toksik yang seringkali digunakan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, politik seperti itu membawa pulangan yang kian berkurangan (diminishing returns) dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahupun Malaysia.
“Dari awal lagi mereka mengintai peluang kemenangan dengan memainkan isu kaum dan agama. Isu sekolah vernakular, agama dan bangsa calon yang bertanding dan sentimen ‘Melayu hilang kuasa’ telah dimainkan oleh pemimpin PN semasa kempen ini.
“Malahan, jentera PN tidak menawarkan apa-apa yang menarik buat pengundi KKB dan hanya membawa polemik isu 3R. Kekalahan PN di PRK Kuala Kubu Baharu membuktikan bahawa kempen menggunakan isu 3R gagal menawan hati majoriti pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
“Oleh itu, PN diseru untuk bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan agama, dan hanya politik kesederhanaan dan perpaduan boleh merangkul sokongan daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, kemenangan itu menunjukkan keyakinan rakyat pada Kerajaan Selangor yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari masih utuh dan memberi mesej jelas bahawa dasar Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kian diterima rakyat.
“Sokongan rentas kaum yang diperolehi oleh Pang Sock Tao akhirnya membawa kemenangan buat Kerajaan Perpaduan dan menunjukkan bahawa konfigurasi politik berteraskan perpaduan dan kebersamaan adalah formula terbaik untuk Selangor dan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Sementara itu, pencabar utama Sock Tao daripada PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi manakala Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi.











