KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC lulus ujian pertama apabila berjaya menumpaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Super musim 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Kejayaan itu membolehkan anak-anak buah Nafuzi Zain mengutip tiga mata penuh namun, ia seakan tidak bermakna apabila mata berkenaan perlu dilunaskan dahulu apabila mereka bermula dengan negatif tiga mata musim ini.
Skuad Sang Kenari memulakan saingan liga musim ini dengan mata negatif tiga selepas dikenakan pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas gagal melunaskan gaji pemain pada masa yang ditetapkan.
Dalam aksi berkenaan, KDA FC tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama apabila Syafiq Ahmad hanya memerlukan 33 saat untuk meletakkan pasukan dihadapan.
Gol berkenaan terhasil selepas pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bijak menyudahkan umpanan kapten pasukan Sony Norde.
PDRM yang dikendalikan oleh P. Maniam cuba bangkit selepas dikejutkan gol awal namun, beberapa percubaan mereka gagal disudahkan dengan baik oleh jentera serangan.
Permukaan padang becak akibat hujan jelas menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan pada babak kedua, sekali gus kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.- UTUSAN










