UMNO Cawangan Felda Jengka 24 tekad rampas Parlimen Jerantut, tiga DUN pada PRU16 - Utusan Malaysia

UMNO Cawangan Felda Jengka 24 tekad rampas Parlimen Jerantut, tiga DUN pada PRU16

RAZAK Daud (duduk, tengah) merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Felda Jengka 24 di Dewan Mat Kilau, Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ahli dan kepimpinan UMNO Cawangan Felda Jengka 24 bersemangat bagi merampas kembali kerusi Parlimen Jerantut dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tahan, Damak dan Pulau Tawar yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, walaupun tewas 4-0, namun kekalahan itu tidak melunturkan semangat mereka untuk terus berjuang dan memperbetulkan kesilapan lalu.

Jelasnya, sejarah membuktikan kerusi Parlimen Jerantut dan tiga DUN di daerah ini pernah menjadi milik dan kubu kuat UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebelum ia dirampas oleh PN menerusi Pas.

“Sokongan rakyat tidak boleh diukur hanya berdasarkan kemenangan dalam pilihan raya sebelum ini, sebaliknya memerlukan kerja keras untuk meyakinkan pengundi.

“Kita tahu pengundi-pengundi ini sifatnya dinamik dan fleksibel, sebab itu kita pun tidak jemu-jemu mendekati pengundi, beri bantuan dan sumbangan kepada mereka memerlukan serta ditimpa bencana.

“Sebagaimana di Felda Jengka 24 ini, saya menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana tidak menyangka ahli-ahli UMNO di sini menunjukkan semangat yang begitu tinggi dan tidak pernah pudar untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan tiga DUN yang kita tewas pada PRU15,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Razak berkata, berbekalkan semangat yang ada, ahli dan kepimpinan UMNO khususnya di Felda Jengka 24 perlu terus bekerja kuat dan mendekati rakyat khususnya golongan muda supaya kembali menyokong parti keramat ini.

“Ahli-ahli perlu memberi penerangan yang jelas kepada pengundi-pengundi baru terutama dalam ahli keluarga sendiri.

“Bercerita dan terangkan tentang bantuan-bantuan yang telah kita nikmati di bawah pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Di Felda Jengka 24 sahaja, kita menerima peruntukan lebih RM1 juta untuk membina prasarana demi kemudahan rakyat di sini,” katanya.

Menurutnya, pelbagai bantuan disalurkan kerajaan negeri kepada rakyat termasuk masyarakat Felda antaranya lot tanah Skim Tanah Rakyat (STR) dan Rumah Pahang.

“Ini membuktikan bahawa Menteri Besar begitu bersangat membantu rakyat di seluruh negeri ini dan sudah tentu kita memberi sokongan kepadanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×