PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia tetap dengan pendirian mengusulkan pembatalan sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan selepas kontraktor yang dilantik masih gagal memenuhi obligasi yang ditetapkan sebelum ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kontrak berkenaan sudah pun dimeterai sejak tahun 2022 dan mengikut perancangan awal, helikopter Black Hawk akan tiba pada bulan November tahun lalu.
Bagaimanapun menurutnya, pihak berkenaan telah menyatakan kelewatan tersebut dan akan menyelesaikan penghantaran Black Hawk pada bulan April lalu.
“Sudah hampir dua tahun perjanjian dimeterai, obligasi asal mereka (kontraktor) sepatutnya hantar pesawat pertama pada bulan November dan jamin pada April sudah selesai. Namun rancangan asal gagal dan sebab-sebabnya pun kita tidak tahu.
“Ini sebenarnya memberi kesan kepada latihan dan juga operasi Tentera Darat. Oleh itu kami berpendapat tindakan perlu diambil demi kepentingan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 199/23 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Hafizuddeain dilaporkan berkata, penghantaran peringkat pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.
Bagaimanapun, perolehan berkenaan masih gagal dihantar kepada pihak Tentera Darat dan semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan pihak kementerian akan menilai kontrak itu bagi membuat keputusan sama ada batal, buka tender semula dan sebagainya.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, Tentera Darat sebagai pengguna amat memerlukan keupayaan Black Hawk dan kontrak perolehan ataupun sewaan tersebut akan banyak membantu pasukan dalam tugas-tugas operasi dan juga latihan.
“Kami berharap sangat supaya kontraktor yang dilantik dapat memenuhi obligasi kontrak yang telah dimeterai, namun sehingga kini mereka masih gagal. Tentera Darat akan mengambil tindakan tegas mengusulkan kepada kementerian selaku pengurus kontrak supaya sewaan ini dibatalkan.
“Jadi kita boleh bergerak ke hadapan. Kita tidak tahu berapa lama lagi kita kena tunggu dan keperluan ini amat-amat mendesak,” katanya lagi.-UTUSAN.











