PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengintai keputusan podium kedua menjelang pusingan kedua Red Bull MotoGP Rookies Cup yang kembali ke Le Mans, Perancis, hujung minggu ini.
Dua minggu lalu, anak muda berusia 17 tahun itu mencipta kejutan apabila muncul naib juara dalam aksi pembukaan musim di Litar Jerez, Sepanyol.
Hakim Danish hampir sahaja menjuarai perlumbaan tersebut, namun, malangnya dia dipintas di garisan penamat yang hanya dipisahkan setengah tayar berbanding pemenang, Alvaro Carpe dari Sepanyol.
Anak jati Kuala Terengganu itu kini berada di kedudukan kelima keseluruhan dalam senarai pelumba selepas mengumpul 27 mata daripada dua perlumbaan di Jerez, manakala, Carpe berada di tangga teratas dengan 38 mata.
Hakim Danish yang berdepan jadual padat bersaing buat kali keempat berturut-turut dalam tempoh empat minggu berkata, aksi hujung minggu ini merupakan kali kedua dia berlumba di Litar Le Mans selepas tahun lalu sekadar berada di tempat kesembilan dalam perlumbaan 1 dan gagal menamatkan saingan pada perlumbaan 2.
“Minggu ini merupakan perlumbaan keempat saya berlumba secara berturut-turut dan berharap kehadiran saya tahun ini berlangsung lebih baik.
“Saya berharap keputusan podium dapat diulang untuk perlumbaan 1 dan 2, jadi, amat penting untuk saya berjuang bagi mendapatkan kedudukan dalam kelompok hadapan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ZK Racing di sini, semalam.
Bakal beraksi di sebuah litar ikonik yang memiliki selekoh-selekoh mencabar dan laluan lurus yang panjang serta laju, Hakim Danish berjanji untuk mempamerkan prestasi terbaiknya dalam perlumbaan tersebut.
Kehadiran Hakim Danish di Le Mans kali ini bukan sekadar untuk memperbaiki prestasinya di Le Mans pada tahun lalu, tetapi, tahap kecergasan dan kekuatan mentalnya juga bakal diuji kerana perlu mengharungi jadual yang cukup padat.
Memilih untuk berlumba dalam Kejohanan Dunia FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup, musim ini, menyebabkan Hakim Danish terpaksa merentas empat negara bermula di Misano, Itali, kemudian di Jerez, Sepanyol, sebelum terbang ke Estoril, Portugal, minggu lalu, dan berada di Le Mans, Perancis, hujung minggu ini.
Hakim Danish akan beraksi dalam perlumbaan 1 pada Sabtu pukul 11 malam dan untuk perlumbaan 2 pukul 2.45 petang Ahad (waktu Malaysia). – UTUSAN










