IPOH: Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berpuas hati dengan persiapan pasukan itu menjelang sepak mula Liga Super 2024 bertemu Terengganu FC di Kuala Terengganu esok.
Persiapan termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan Kedah FC dan Penang FC serta dua pasukan Liga-S dirasakan jurulatih itu mencukupi untuk menyediakan pasukannya.
Yusri juga memantapkan pasukan dengan mengambil khidmat pemain baharu terutama di benteng terakhir dan juga tenaga import baharu.
“Kelemahan di benteng terakhir The Bos Gaurus musim lalu dijangka berakhir dengan pengambilan Haziq Nadli, Ranadhan Hamid dan Firdaus Irman.
“Saya berharap pemain baharu yang diambil ini merupakan penyelesaian kepada kelemahan kita di bahagian pertahanan,” kata Yusri sebelum berlepas ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, pemain baharu, Clayton Da Silva dan Adilet Kanybekov juga semakin membuat impak semasa perlawanan persahabatan dan mereka perlu diberikan sedikit masa lagi.
“Dua tonggak iaitu Wan Zack Haikal dan Luka Milunovic mungkin tidak dapat diturunkan esok kerana kecederaan.
“Mereka mungkin dapat beraksi dalam perlawanan kedua kita nanti,” katanya. – UTUSAN











