TIDAK mudah untuk membina dan mempertahankan empayar perniagaan dengan menjadikan tudung sebagai produk utama lebih-lebih lagi semakin banyak jenama tudung tumbuh bak cendawan selepas hujan sejak beberapa tahun ini.
Peka dengan trend pasaran tersebut, Azrul Izzam Kamarul Zaman mencipta kelainan dengan fabrik teknologi drichill yang diperkenalkan pada 2018, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak beberapa tahun sebelumnya .
Fabrik pilihan ini menyerap peluh, mudah kering dan sejuk menerusi cara pembuangan haba secara terus dan tahan lasak, sekali gus memberikan pengalaman berbeza untuk si pemakai.
Bermula dengan anak tudung, pengasasnya mendapat cetusan idea untuk menghasilkan lebih banyak produk yang sesuai dipakai oleh wanita lasak untuk bersukan menerusi jenama Innersejuk antaranya tudung, seluar dan baju.
Setelah masuk tahun ketiga di pasaran, kini Innersejuk mengukuhkan lagi jenamanya dengan produk tudung terbaharu yang dinamakan Salju Hijab.
Azrul Izzam berkata, Salju Hijab masih mengekalkan penggunaan fabrik drichill, namun tampil pertama kali dalam bentuk bawal dan selendang (shawl) dengan pelbagai corak segar.
Ujarnya, idea ini tercetus kerana sepanjang pengalaman mengeluarkan produk pakaian sukan wanita, dia melihat wanita lebih sukakan produk yang pelbagai guna.
“Sebelum ini, kita keluarkan tudung sarung sahaja untuk wanita bersukan, jadi saya fikir mengapa tidak kita keluarkan pula tudung yang boleh dipakai bukan hanya untuk bersukan, malah untuk ke pejabat mahupun keluar bersiar-siar.
“Salju Hijab ini tidak mudah kedut dan sesuai dipakai bila-bila masa. Kita juga berkolaborasi dengan pereka fesyen dari Indonesia untuk menghasilkan corak tudung yang berbeza daripada pasaran. Koleksi ini boleh didapati dengan harga pengenalan RM89 sehelai,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Azrul Izzam, sesuai dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, pihaknya mempromosikan koleksi Maya Salju Hijab bertemakan futuristik yang memberikan bayangan bagaimana kita beraya di masa hadapan.
Jelasnya, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab fesyen muslimah, mereka perlu kreatif serta menonjol daripada kebiasaan dan disebabkan itu, setiap kempen yang dijalankan akan berlandaskan konsep di luar kotak.
“Untuk keluaran terbaharu ini, kami menyasarkan dapat menjual 30,000 helai tudung dalam tempoh tiga bulan pertama. Kita akan lihat bagaimana sambutannya dan jika bagus, kita akan tingkatkan jumlah pengeluaran.
“Tudung sukan bercorak pelbagai guna ini adalah yang pertama di dunia dan kami turut menyasarkan pelanggan dari luar negara termasuk Brunei, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Asia Barat,” ujarnya.
Tambah beliau, Innersejuk juga mula memperkenalkan kaedah dropship untuk membantu orang ramai menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.
“Kita buka peluang kepada orang ramai mendaftar sebagai dropship secara percuma bermula Khamis ini. Kami akan bantu dari segi pembelajaran untuk memasarkan produk, pengurusan kewangan dan mencapai sasaran jualan,” katanya. – UTUSAN










