LELAKI dicipta oleh Allah SWT sebagai pemimpin. Di bahu mereka terletak tugas dan tanggungjawab yang amat besar.
Di bahu mereka juga dibebani dengan amanah untuk dipikul iaitu memelihara wanita.
Pun begitu, bukan semua lelaki atau suami dapat menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka dengan lebih bertanggungjawab.
Kegagalan memberi bimbingan terhadap wanita bergelar isteri dan anak secara tolenrasi tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.
Ini kerana sehingga hari ini, masih ada lelaki yang mengeksploitasi wanita, merendahkan martabat serta menafikan hak-hak mereka.
Minggu ini saya kongsikan kisah kegagalan lelaki bergelar suami dan bapa menjadi pemimpin dalam keluarga sehingga menyumbang kepada pelbagai masalah dan keberantakan dalam institusi keluarga yang dibina.
Suhaimi (bukan nama sebenar) didakwa memiliki ciri-ciri suami dayus yang langsung tidak mempunyai rasa cemburu dengan membiarkan keluarganya bermaksiat tanpa batas.
Jangankan mahu menegur isteri dan anak-anak agar menutup aurat, mendirikan solat lima waktu jauh sekali.
Isteri dan anak-anak dibiar keluar rumah dan bebas bergaul. Kisah Suhaimi ini diceritakan sendiri oleh anak bongsunya Mia (bukan nama sebenar) dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini.
Anak gadis berusia 22 tahun itu berkata, dia tidak berniat membuka aib keluarga sendiri, tetapi lebih kepada perkongsian untuk dijadikan pengajaran kepada mereka di luar sana.
Memulakan cerita kata Mia, dia bersyukur kerana berjaya keluar daripada terus hidup dalam rumah yang diibaratkan sebagai neraka dunia.
Menurutnya, selepas tamat sekolah rendah, dia ditawarkan ke asrama penuh di selatan tanah air.
Dia hanya pulang ke rumah, dua minggu atau sebulan sekali sepanjang tempoh lima tahun itu.
Tidak habis di situ sahaja, selepas tamat tingkatan lima dia menyambung pula pengajian di salah sebuah universiti tempatan di ibu kota.
Berbeza dengan abang dan kakaknya, Borhan dan Mira (bukan nama sebenar) , yang mana masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah sehingga ke tingkatan lima.
Perangai kedua-duanya banyak terikut-ikut kepada cara ibu dan bapa membesarkan mereka.
Bukan setakat tingkah laku, tapi bahasa dan tutur kata turut ditiru. “Ibu ayah langsung tak ambil
berat bab-bab agama.
“Kami tiga beradik hanya di hantar ke sekolah agama semasa sekolah rendah. Saya sendiri tidak pernah melihat ibu ayah mendirikan solat.
“Mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan dan aktiviti sosial terutama hujung minggu,” ujar Mia berterus terang.
Disebabkan abang dan kakak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kurang memberi perhatian dalam pendidikan moral dan agama, mereka banyak mencari perhatian di luar rumah.
Kedua-duanya tidak pernah betah duduk di rumah. Mereka lebih sukakan hiburan, berparti dan mengunjungi kelab-kelab malam.
Ibu dan bapa pula tak ambil kisah, asal sahaja mereka selamat. Menceritakan latar belakang kedua ibu bapanya, kata Mia, mereka berkenalan dan mendirikan rumah tangga ketika sama-sama menuntut di luar negara.
Bapa Mia berkelulusan di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perbankan, manakala ibu dalam kejuruteraan. Ibu Mia seorang yang
suka bersosial , peramah dan berperwatakan menarik.
Menurut cerita datuk dan neneknya, peluang ibu Mia menuntut di luar negara bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga malahan penduduk kampung.
Berada di negara asing selama lima tahun sedikit sebanyak mengubah ibu Mia.
Walaupun belajar di luar negara membawa banyak kebaikan , ia juga mempunyai keburukan yang perlu diambil perhatian.
Salah satu keburukan ialah kejutan budaya yang mana menghadapi cabaran untuk menyesuaikan dengan suasana, bahasa dan budaya baru.
Ibu dan bapa Mia tidak terkecuali turut terpengaruh dengan budaya asing yang buruk dan bercanggah dengan cara kehidupan
Selepas lima tahun di sana, mereka pulang ke tanah air.
Perkahwinan yang diharapkan indah pada mulanya berubah apabila ibu bapa Mia sibuk dengan pekerjaan masing-masing.
“Ibu dan ayah tidak banyak masa bersama kami adik beradik. Kami dibesarkan dengan pengasuh dari usia bayi.
“Kami hanya bertemu ayah dan ibu pada hujung minggu. Itupun sekejap. Kami lebih dimanjakan dengan wang ringgit berbanding sentuhan kasih sayang ibu ayah,” imbas Mia.
Mengakhiri perbualan lewat petang itu, Mia berkata, sikap isteri dan anak yang berakhlak tidak baik adalah berpunca daripada sikap suami
yang tidak pandai mendidik serta cuai melaksanakan tanggungjawab.
Bagaimanapun katanya, dia kurang setuju jika ia secara total dipalitkan kepada seorang suami.
Suami isteri perlu sama-sama ada kesedaran dan usaha untuk berubah.
“Sebagai anak saya tetap mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa.
“Tidak kira siapapun mereka, baik atau pun jahat , doa tetap saya panjatkan terhadap keduadua syurga saya ini. Semoga mereka insaf dan berubah,” ujarnya penuh makna.
Sesungguhnya, golongan lelaki mempunyai ciri-ciri khusus dan tanggungjawab fitrahnya sebagai pelindung wanita dan pemimpin berwibawa.
Sebagaimana Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 34 yang bermaksud “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita. Oleh itu Allah telah melebihkan orangorang lelaki ( denhan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga orangorang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari hartanya.”









