PETALING JAYA: Jumlah penganggur pada Mac terus menurun kepada 566,600 orang, mencatatkan kadar pengangguran di Malaysia sebanyak 3.3 peratus, menurut Jabatan
Perangkaan.
Mengulas prestasi keseluruhan bagi Mac 2024, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang mengalakkan pada Mac lalu telah membolehkan pasaran buruh negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang stabil.
“Justeru, bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mengukuh sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.10 juta orang berbanding 17.7 juta orang pada Februari lalu.
“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.3 peratus berbanding 70.2 peratus pada Februari lalu, menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.53 juta orang, berbanding 16.51 juta orang yang direkodkan pada Februari 2024.
“Sebaliknya, bilangan penganggur pada Mac berubah sedikit kepada 566,600 orang, dengan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus berbanding 567,000 pada bulan sebelumnya.
“Kadar pengangguran pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 3.3 peratus seperti pada Februari 2024,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, pada Mac 2024, sebanyak 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.42 juta orang berbanding 12.41 juta orang pada Februari 2024.
Katanya, trend positif turut dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri, yang naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.03 juta orang daripada 3.02 juta orang pada Februari 2024.
“Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus merekodkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta aktiviti maklumat dan komunikasi.
“Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga berada pada trend meningkat pada Mac 2024,” ujarnya.
Mohd. Uzir berkata, daripada jumlah bilangan penganggur pada bulan itu, sebanyak 79.7 peratus merupakan mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
“Kategori ini turun sebanyak 0.2 peratus merekodkan 451,500 orang daripada 452,400 orang pada Februari 2024.
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.7 peratus adalah mereka yang
menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia naik sebanyak 0.4 peratus kepada 115,000 orang (Februari 2024: 114,600 orang),” katanya.
Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, mencatatkan 306,300 penganggur belia manakala dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.6 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 434,500 orang. – UTUSAN











