RM14.1b laksana 295 projek luar bandar di Sabah

RM14.1b laksana 295 projek luar bandar di Sabah

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kiri) melawat gerai pameran agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sempena mesyuarat penyelarasan exco-exco luar bandar di Kota Kinabalu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak RM1.41 bilion diperuntukkan untuk negeri ini bagi melaksanakan 295 projek infrastruktur di luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia terdiri daripada 70 projek baharu dan 225 projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM17.8 bilion.

“Daripada RM14.1 bilion itu, sejumlah RM1.06 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 224 projek infrastruktur di luar bandar seperti jalan, jambatan, bekalan air, bekalan elektrik serta projek pemajuan kawasan bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk pembangunan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan exco-exco luar bandar di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, setiap exco yang hadir dalam mesyuarat itu juga telah diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 bagi melaksanakan projek mengikut kumpulan sasar di negeri masing-masing iaitu projek infrastruktur dan projek komuniti.

Katanya lagi, di peringkat negeri ini juga, masih banyak projek yang telah diluluskan belum dilaksanakan termasuk projek bernilai RM50 juta ke bawah dikendalikan kerajaan negeri dan projek bernilai RM50 juta ke atas dikendalikan kementeriannya melalui agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya.

Beliau berkata, prosedur tidak telus menyebabkan banyak projek yang diluluskan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu masih belum dapat dilaksanakan.

Susulan itu, kementeriannya mengambil inisiatif melakukan penyelarasan di peringkat kementerian dengan kerjasama exco-exco luar bandar untuk membolehkan pelaksanaan projek yang tertangguh dapat disegerakan.

“Disebabkan prosedur yang digunakan dulu tidak telus, maka langkah diambil di peringkat kementerian melalui ketua setiausaha kementerian untuk mengenal pasti kaedah yang boleh mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Ini berlaku kerana prosedur-prosedur yang ada itu sangat ketat. Kita tidak mahu melanggar prosedur itu tetapi dengan arahan Perdana Menteri untuk kita segerakan pelaksanaan projek, maka ada jalan-jalan tertentu yang harus digunakan agar penyelarasan ini dilakukan dengan kerajaan negeri yang diwakili oleh exco-exco untuk kita beritahu kaedah pelaksanaannya.

“Apa yang kita telah kita capai (dalam mesyuarat) kali ini adalah untuk exco-exco luar bandar ini melakukan penyelarasan program-program yang kita telah persetujui bersama sebelum ini untuk kita laksanakan pada tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan menyeimbangkan pelaksanaan projek-projek fizikal yang ada untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk pelaksanaan dan ia mesti dipantau agar dapat disegerakan.

“Kita mesti mencari jalan untuk segerakan dengan tidak mengenepikan tatakelola yang ditentukan kerajaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×