'Beri penjelasan kepada pembayar cukai mengapa pilih biayai projek LRT'

‘Beri penjelasan kepada pembayar cukai mengapa pilih biayai projek LRT’

LIM MAH HUI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri diminta memberi penjelasan kepada pembayar cukai mengapa mereka memilih untuk membiayai dan membina projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan menjadi punca yang menjerat kepada masalah kewangan, teknikal dan alam sekitar di Pulau Pinang.

Aktivis sosial dan ekonomi, Dr. Lim Mah Hui berkata, pihaknya meminta penjelasan itu memandangkan terdapat mod pengangkutan awam alternatif yang lebih baik, lebih murah dan pantas tersedia berbanding dengan LRT.

“Dari segi perbandingan kos pembinaan, sistem LRT adalah jauh lebih mahal daripada sistem baharu seperti sistem Transit Aliran Automasi (ART) dan Sistem Bas Rapid Transit (BRT).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana, kos pembinaan adalah kira-kira 10 kali lebih tinggi untuk LRT iaitu RM360 juta setiap bagi setiap kilometer (km) berbanding ART atau BRT (hanya sekitar RM38 juta setiap km),” katanya dalam sidang akhbar dan forum mengenai isu LRT Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas jurutera pengangkutan yang bertanggungjawab dalam memantau pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebelum ini iaitu Ir. Lim Thean Heng.

LIM THEAN HENG

Berdasarkan laporan sebelum ini, pelaksanaan fasa pertama bagi projek LRT itu dijangka bermula penghujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Mah Hui berkata, pembinaan LRT turut memberi impak dari segi masa pembinaan di mana sistem LRT mengambil masa lebih lama untuk dibina dan menyebabkan gangguan lalu lintas yang ketara semasa fasa pembinaannya, berbanding sistem ART atau BRT yang dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Selain itu kos operasi dan penyelenggaraan untuk LRT adalah kira-kira tiga kali lebih tinggi bagi setiap kilometer daripada kos untuk sistem ART atau BRT.

“Dari segi fleksibiliti dan liputan pula, ART dan BRT menawarkan fleksibiliti yang lebih besar dan boleh meliputi kawasan yang lebih luas. Ia membolehkan lebih banyak laluan ditawarkan kepada pengguna serta lebih menjimatkan kos dan menjadikan kos pelaksanaannya lebih rendah,” katanya.

Selain itu, kata Mah Hui, unjuran terperinci untuk LRT Pulau Pinang menunjukkan, potensi defisit tahunan disebabkan kos operasi yang tinggi dan jumlah penumpang yang lebih rendah daripada jangkaan dengan kerugian besar dalam hasil tiket diramalkan berdasarkan struktur tambang semasa dan anggaran penumpang harian.

“Anggaran kerugian tahunan boleh mencecah lebih setengah bilion ringgit apabila bayaran faedah dimasukkan,” katanya yang memberitahu, analisis kewangan juga menunjukkan potensi besar untuk keuntungan kewangan bagi kontraktor utama yang terlibat dalam projek LRT selain menimbulkan persoalan tentang penjajaran.

Sementara itu, Thean Heng berkata, kerajaan negeri terlalu memberi fokus kepada projek LRT dan pembinaan lebuh raya berbanding melihat kepada komponen pengangkutan lain yang boleh diintegrasi.

“Adakah kerajaan negeri berada di ‘track’ (landasan) yang betul apabila terlalu memfokuskan kepada (pembinaan) lebuh raya dan LRT? Pembinaan kedua-dua projek ini jelas akan menelan kos yang sangat tinggi dan siapa yang akan membayarnya? Jika pihak berkuasa tempatan yang membayarnya, sudah tentu wang itu datang daripada pembayar cukai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini