GEORGE TOWN : Projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara kini boleh memasuki fasa pembinaan apabila kontraktor sivil utama pertama (CMC1) SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) diberitahu telah menerima notis mula kerja (NTP) daripada pemaju projek, MRT Corporation (MRTC).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan pengeluaran notis rasmi bertarikh 15 Julai itu, pembinaan LRT di Pulau Pinang kini akan dimulakan seperti yang dirancang sebelum ini.
“Proses pembinaan akan melibatkan beberapa kerja utama seperti pemindahan utiliti, pelebaran jalan, kerja-kerja cerucuk tanah dan penyediaan tapak bina (site establishment) di semua lokasi sepanjang jajaran Laluan Mutiara yang telah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Mengikut perancangan asal, projek LRT Laluan Mutiara itu merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sejauh 29.5 kilometer (km).
Ia akan menghubungkan PSR-A dengan Penang Sentral serta Stesen Komtar di George Town manakala tren pula akan beroperasi secara bergilir-gilir di kedua-dua laluan untuk liputan yang lebih luas.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga sedang menunggu keputusan tender bagi pelantikan kontraktor ‘turnkey’ bagi pakej CMC2 yang melibatkan jajaran dari Macallum ke Penang Sentral selain pakej sistem rel Laluan Mutiara.
Tambahnya, tahun ini menyaksikan beberapa pencapaian penting projek LRT ini termasuk Majlis Pecah Tanah di tapak stesen Bandar Sri Pinang serta pelantikan rasmi SRS sebagai kontraktor turnkey bagi CMC1 pada Januari lalu.
Kata Kon Yeow, dalam tempoh yang terdekat pula, platform komunikasi strategik dan talian maklum balas melibatkan semua projek mega yang sedang dan akan berjalan di negeri ini bakal diumumkan bagi membolehkan umum memperoleh maklumat serta interaksi lanjut.
“Kerajaan negeri menyeru semua pihak terutamanya seluruh rakyat Pulau Pinang untuk memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang pelaksanaan projek yang dijangka selesai pada tahun 2031 demi masa depan Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN









