KUANTAN: Kerajaan Pahang sudah meluluskan cadangan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di negeri ini seluas kira-kira 220 hektar bertempat di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai, Lipis, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan terbabit diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-13/2024 pada 3 April lalu.
Katanya, pemilihan kawasan terbabit juga adalah susulan lawatan kerja ke tapak Projek Perintis NR-REE di Mukim Kenering, Hulu Perak, Perak pada 25 September tahun lalu.
“Lawatan itu bertujuan melihat dan mempelajari teknik perlombongan NR-REE yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Susulan itu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dijadikan Projek Perintis NR-REE ini,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) berkaitan kesediaan kerajaan untuk perlombongan bahan nadir (REE) di Pahang sebagai sumber pendapatan negeri.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri dalam peringkat pemurnian fasa akhir prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE Pahang yang diterajui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG) dan Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa negeri.
“Kerajaan negeri mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pengusaha pelabur sektor perlombongan untuk menjalankan eksplorasi NR-REE di negeri Pahang. Kita juga bersedia menawarkan kerjasama bagi pembukaan kilang memproses NR-REE di Malaysia, khususnya di Pahang,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Khairulnizam Mohmas Zuidin (BN-Kemayan) berkaitan kaedah perlombongan yang tidak menjejaskan alam sekitar, beliau berkata, berdasarkan lawatan di Mukim Kenering, kaedah yang digunakan di situ didapati tidak begitu menjejaskan alam sekitar.
“Nak kata kosong (menjejaskan) itu tidaklah. Tetapi contohnya kalau kawasan tersebut 200 ekar (80 hektar), mungkin 10 ekar (empat hektar) sahaja yang terjejas kerana akan ada sedikit penebangan. Kemudiannya, perlombongan ini sangat minima dan tidak dibuat sesuka hati dan sebagainya. Dan ia terkawal serta dipantau setiap masa.
“Kaedah dipanggil larut resap insitu (ISL) dilakukan dengan kesan minimum terhadap alam sekitar dan ia ternyata berbeza dengan kaedah perlombongan yang dilakukan secara terbuka yang melibatkan lebih banyak pokok yang ditebang,” katanya.
Bagi menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PN-Beserah), Wan Rosdy berkata mengikut laporan dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), setakat ini kawasan yang mempunyai REE paling banyak adalah di Lipis, Raub dan Bentong.
“Saya difahamkan mengikut rekod yang ada pada saya dari sumber JMG, lebih kurang 1.4 juta tan hasil REE jika ditukar kepada ringgit lebih kurang RM80 bilion. Insya-Allah akan mendatangkan hasil kepada negeri dan lebih banyak hasil diperolehi, lebih banyak bantuan kita akan beri kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










