YANGON: Penduduk Myanmar meratapi kematian ahli keluarga tersayang selepas pasukan keselamatan negara ini didakwa ‘melancarkan serangan besar-besaran’ pada sambutan Hari Pasukan Bersenjata semalam, menyaksikan 114 orang terbunuh.
Kanak-kanak turut tidak terlepas menjadi mangsa kerakusan pasukan keselamatan Myanmar yang disifatkan semakin ‘tidak sedar diri’.
Tragedi berdarah itu mendapat perhatian meluas komuniti antarabangsa dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Myanmar melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’.
Tunjuk perasaan yang berlaku kelmarin juga merupakan siri tentangan paling dahsyat sejak junta tentera melakukan rampasan kuasa pada Februari lalu dengan menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD).
Dalam pada itu, satu kumpulan persatuan awam yang enggan mendedahkan identiti memaklumkan jet tentera melancarkan serangan di sebuah perkampungan yang dikuasai oleh puak Karen, menyebabkan tiga orang terbunuh dan ramai penduduk melarikan diri ke hutan.
Terdahulu, Ketua Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing menegaskan pasukan keselamatan negara ini akan sentiasa melindungi negara dan rakyat daripada sebarang ancaman.
Lapor Myanmar Now, sebanyak 40 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun terbunuh di Mandalay, manakala 27 maut di Yangon.
Selain itu, kematian penduduk awam juga direkodkan dari wilayah Kachin hingga Taninthartharyi dan menjadikan jumlah korban sehingga kini lebih 440 orang.
Pertumpahan darah yang mengerikan
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Myanmar, Thomas Vajda menerusi media sosial menggambarkan pertumpahan darah yang berlaku di Myanmar ketika ini amat menakutkan.
“Sudah jelas penduduk Myanmar tidak mahu hidup di bawah pemerintahan ketenteraan dan apa yang berlaku ketika ini amat mengerikan,” katanya.
Kritikan besar-besaran
Dalam pada itu, barisan kepemimpinan ketenteraan AS dan sekutu mengkritik situasi yang berlaku di Myanmar.
Menerusi kenyataan bersama, mereka menegaskan ketenteraan Myanmar seharusnya bertindak secara profesional dan melindungi rakyat, bukannya membunuh sesuka hati.
Wakil Khas PBB, Tom Andrews berkata, sudah tiba masanya untuk dunia bertindak, sama ada menerusi resolusi PBB atau sidang kemuncak kecemasan antarabangsa.
“Kita perlu sekat penyaluran dana ketenteraan Myanmar dan akses senjata bagi menghentikan semua pergolakan ini,” ujarnya.
Tetap dapat sokongan
Biarpun dunia mengkritik tindakan Myanmar atas kekejaman yang berlaku, ketenteraan negara ini masih mendapat sokongan daripada beberapa negara lain termasuk Rusia, China, India, Pakistan, Bangladesh, Vietnam, Laos dan Thailand.
Kesemua lapan negara tersebut menghantar wakil ke Myanmar bagi meraikan sambutan Hari Pasukan Bersenjata dengan Rusia menjadi satu-satunya negara yang menghantar menteri untuk meraikan sambutan tersebut.
Sokongan dari China dan Rusia secara tidak langsung membuat Myanmar terus kebal daripada kritikan antarabangsa. – REUTERS










