MUKADIMAH
Walaupun berdepan dengan ugutan supaya menarik diri daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu. Calon Bebas, Nyau Ke Xin tetap teguh dan enggan berganjak daripada pertandingan empat penjuru tersebut. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL, beliau optimis mengenai peluangnya untuk memenangi pilihan raya pada 11 Mei ini.
UTUSAN: Bagaimana dengan sambutan diterima selepas kempen sudah masuk ke pusingan kedua dan berada di saat-saat akhir ini?
Apa yang saya dapat daripada pemerhatian umum saya, sambutan diterima amat baik malah dalam setiap sesi bertemu dengan pengundi, tiada seorang pun yang membantah atau menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap saya.
Adakah benar selepas hari penamaan, anda diganggu oleh orang tidak dikenali?
Ya benar, saya dihubungi sebanyak tiga kali oleh individu yang tidak dikenali. Mereka meminta saya untuk menarik diri daripada PRK Kuala Kubu Baharu ini. Namun, bagi saya ia bukan menjadi perkara yang boleh membuatkan saya cemas atau takut.
Ia memberikan saya kekuatan untuk terus membantu masyarakat di Kuala Kubu Baharu yang betul-betul memerlukan bantuan.
Selain daripada itu, adakah ada menerima gangguan lain?
Selain daripada panggilan telefon tiada apa tekanan daripada pihak lawan tetapi saya menghadapi halangan dalam proses penggantungan bahan kempen, di mana ada beberapa individu cuba menghalang saya.
Adakah benar memilih bertanding kerana ingin memecah undi dan merupakan proksi kepada individu tertentu?
Saya sudah berikrar sebelum ini, saya tiada niat untuk memecahkan undi atau saya merupakan proksi kepada mana-mana parti. Saya bertanding atas kapasiti sendiri dang ingin membawa satu perubahan di Kuala Kubu Baharu.
Kenapa perlu undi calon bebas dan bukannya daripada calon yang diletakkan oleh parti politik?
Saya tidak terikat dengan mana-mana parti dan kepentingan politik mereka. Saya boleh dan berhak untuk menyoal serta mendapatkan apa yang sepatutnya terbaik untuk warga Kuala Kubu Baharu tanpa halangan dari mana pihak lain demi menjaga kepentingan mereka.
Saya hanya fokus dan berminat untuk memajukan kawasan ini sahaja. – UTUSAN










