KOTA BHARU: Tiga beradik hanya mampu meluahkan rasa syukur selepas nama mereka terpilih untuk menunaikan haji di usia muda.
Lebih mengujakan ketiga-tiga beradik itu Muhammad Izzuddin Muhammad Rosman, 31, Muhammad Fazi, 30, dan Muhammad Syafiq, 28, apabila bapa serta ibu mereka turut menerima jemputan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Faiz Muhammad Rosman berkata, dia terkejut dimaklumkan terpilih untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Menurutnya, dia mendaftar dengan Tabung Haji untuk menunaikan ibadah tersebut pada 2019.
“Saya tahu ibadat haji ini penuh dengan ujian dan memerlukan banyak kesabaran serta kudrat, tambahan pula kami akan berdepan musim panas di Arab Saudi.
“Namun saya yakin kami sekeluarga mampu menjalani ibadah dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini semalam.
Seramai 281 orang daripada keseluruhan 2,360 jemaah haji dari Kelantan berlepas dari LTSIP ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat menuju Tanah Suci.
Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana seramai 140 jemaah dari kumpulan satu bergerak menaiki dari Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra ke LTSIP pada pukul 7.55 malam, manakala 141 jemaah dari kumpulan dua bergerak pada jam 11.55 malam.
Sementara itu, seorang lagi jemaah Azhar Ahmad, 55, meluahkan rasa bersyukur serta gembira kerana diberi peluang untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama isterinya, Nordini Ab. Manaf, 54.
Katanya, dia bersemangat serta yakin mampu melaksanakan ibadah haji walaupun terpaksa bertongkat atau berkerusi roda serta baru sembuh dari demam yang dihidapi sejak Ramadan lalu.
“Saya sedar kami akan berdepan musim panas di Arab Saudi tetapi saya yakin mampu menjalani ibadah haji dengan baik. Saya banyak makan vitamin untuk tambah tenaga dan selera makan juga sudah kembali. Selain itu saya ada isteri serta rakan-rakan di sana untuk membantu,” katanya. – UTUSAN










