Cuaca panas: Malaysia berisiko hilang  terumbu karang

Cuaca panas: Malaysia berisiko hilang  terumbu karang

TERUMBU karang berisiko mengalami kelunturan ketika berlaku cuaca panas yang berlarutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Malaysia berisiko kehilangan litupan terumbu karang antara lima hingga 10 peratus terutama di perairan Terengganu berikutan cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.

Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong berkata, fenomena kelunturan terumbu karang adalah satu daripada ancaman akibat musim El Nino yang melanda dunia.

Menurutnya, berdasarkan laporan tinjauan tahunan Reef Check Malaysia dan data Jabatan Perikanan Malaysia, kelunturan terumbu karang dalam skala yang besar pernah berlaku pada 1997-1998, 2010, 2015-2017 dan 2024.

“Terumbu karang adalah sejenis haiwan marin yang sensitif terhadap sebarang perubahan suhu air laut.

“Kajian menunjukkan peningkatan suhu air laut antara satu hingga dua darjah Celcius daripada paras normal, untuk jangka masa lebih dua minggu akan memberi tekanan terhadap kesihatan terumbu karang.

“Pemanasan air laut akan merendahkan sistem imun batu karang dan menurunkan tahap daya tahan terhadap ancaman bakteria dan virus daripada persekitaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan enam negeri termasuk Terengganu dijangka terus mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celcius dalam tempoh tiga bulan lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemanasan suhu air laut melebihi dua darjah Celcius juga menunjukkan kebarangkalian terumbu karang untuk mati akan meningkat.

Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana terumbu karang adalah asas dalam pembentukan ekosistem terumbu karang.

“Terumbu karang pula adalah salah satu habitat utama untuk kehidupan marin di Malaysia yang berkait rapat dengan sumber perikanan kita,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×