Indonesia sahkan rakyatnya mahu bunuh Mahathir - Utusan Malaysia

Indonesia sahkan rakyatnya mahu bunuh Mahathir

TEUKU FAIZASYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia mengesahkan seorang rakyat negara ini terlibat dalam perancangan membunuh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jurucakapnya, Teuku Faizasyah berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan data yang diperoleh daripada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

“Dari maklumat yang kami terima, suspek ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Januari tahun lalu dan kesnya menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini.

“Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur juga sudah mendapat akses untuk bertemu dengan suspek bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya kepada Kompas.com.

Pada Khamis lalu, media melaporkan, Dr. Mahathir terselamat daripada cubaan dibunuh seorang individu yang merancang melakukan serangan secara solo ke atas bekas Perdana Menteri itu sebelum negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Selain Dr. Mahathir, turut diancam dibunuh adalah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azman Omar dalam satu forum maya anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia berkenaan radikalisme dan ekstremisme. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×