PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada pelaburan Microsoft di Malaysia yang bernilai AS$2.2 bilion (RM10.4 bilion), menurut Kenanga Research.
Firma itu berkata, pihaknya telah melakukan penyelidikan mendalam mengenai pelaburan Microsoft di negara ini dalam dalam pengkomputeran awan dan berkaitan teknologi canggih, termasuk Generative AI (GenAI).
“TM berpotensi sebagai penerima manfaat utama kerana ini akan mengakibatkan lonjakan dalam penghantaran data untuk pusat data (DC) yang menjalankan awan awam dan persendirian.
“Walaupun impak pendapatan mungkin tidak serta-merta, kami mengekalkan ramalan dan harga sasaran (TP) kami sebanyak RM7.22 dan mengekalkan saranan outperform,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pelaburan awan dan AI Microsoft termasuk membina infrastruktur awan dan AI di Malaysia, mewujudkan Pusat Kecemerlangan AI nasional untuk memacu penggunaan AI merentas industri, kerjasama dengan kerajaan melalui inisiatif Perisai Siber untuk meningkatkan keselamatan siber dan menyokong pertumbuhan komuniti pemaju Malaysia.
Menurut firma penyelidikan, pihaknya positif terhadap TM kerana ia dimanfaatkan ke arah pertumbuhan data sekular disokong aliran semasa sepertitransformasi digital, percambahan internet kebendaan (IoT), Gen AI dan sebagainya.
“Selain itu, ia mendapat manfaat daripada projek JENDELA fasa 2 melalui peluang pelancaran dan pengewangan, serta daya tarikan yang berterusan dalam inisiatif pengoptimuman kosnya.
“Ini adalah masa yang tepat bagi TM untuk mengembangkan DC pada skala besar kerana ia bakal memanfaatkan rangkaian luas aset infrastruktur global TM,” ujarnya.
Terdahulu, Microsoft mengumumkan untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur awan di Malaysia untuk tempoh empat tahun akan datang.
Pelaburan itu termasuk membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.
Sebelum itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella turut mengumumkan akan melabur AS$1.7 bilion (RM8.09 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang bagi pembangunan infrastruktur awan dan AI di Indonesia, yang merupakan yang terbesar dalam sejarah 29 tahun Microsoft di negara itu.
Nadella turut menyatakan persetujuan untuk mewujudkan wilayah pusat data pertama Thailand bagi meningkatkan infrastruktur awan dan AI, menjanjikan latihan AI kepada lebih 100,000 rakyat negara itu membangunkan teknologi ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. – UTUSAN










