Proton menang dua anugerah untuk model terbaharu - Utusan Malaysia

Proton menang dua anugerah untuk model terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton bersama anak syarikat, PRO-NET merangkul dua anugerah berprestij untuk model terbaharu dalam majlis Anugerah Allianz DSF.my Vehicle Of The Year (VOTY) 2024.

Pada majlis tersebut, peneraju pasaran sedan segmen C, Proton S70 Flagship X menerima pengiktirafan pertama apabila memenangi kategori Sedan of The Year, walaupun berada di pasaran kurang daripada enam bulan.

Sementara itu, smart #1 BRABUS yang dilancarkan pada November 2023 dan diedarkan secara eksklusif di Malaysia oleh PRO-NET, menewaskan pesaing-pesaing yang kuat untuk memenangi Anugerah Electric Crossover of The Year.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah berkata, kedua-dua pemenang anugerah mewakili perubahan ketara dalam hala tuju Proton, dengan Proton S70 sebagai sedan serba baharu pertama yang dibangunkan bersama Geely.

smart #1 yang direka oleh Mercedes-Benz pula merupakan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama yang diperkenalkan oleh syarikat dan merupakan perintis kepada ketibaan lebih banyak kenderaan elektrik (EV) pada masa depan termasuk model pemasangan tempatan di bawah lambang Proton.

Katanya, pengiktirafan yang diperoleh dengan anugerah itu adalah bukti keberkesanan model perniagaan baharu.

“Kami di Proton telah sibuk sepanjang tahun 2023 apabila kami melancarkan dua model baharu dalam seminggu dengan kedua-duanya membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.

“Selepas pengenalan tiga model SUV siri X dalam tempoh lima tahun, Proton S70 adalah sedan pertama yang kami bangunkan bersama Geely, memfokuskan pembeli yang mencari kereta keluarga dengan prestasi sporty, teknologi sambungan dan ciri-ciri yang komprehensif.

“Sambutannya setakat ini amat menggalakkan dan ia telah mendominasi jualan dalam segmen pasarannya sejak awal tahun 2024,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, sebagai model EV pertama yang ditawarkan oleh Proton, smart #1 adalah anjuran yang berbeza untuk mereka menerokai pasaran baharu.

“Daripada pengecasan, servis, perisian dan juga cara kami berinteraksi dengan pelanggan, telah memboleh kami mengadaptasi operasi ke industri EV dengan pesat dan memberi syarikat pengalaman yang tidak ternilai untuk melancarkan tawaran EV baharu dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN