Diplomasi nama negara - Utusan Malaysia

Diplomasi nama negara

DUA warga emas berpakaian tradisional menari sebagai menyambut Hari Wanita Sedunia di Pyongyang, 8 Mac lalu. – GAMBAR HIASAN-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA bukan kerana Sukan Olimpik Musim Panas 1988 di Seoul, Korea Selatan, saya yang waktu itu baru berusia 12 tahun, secara jujur tidak begitu kenal negara Asia Timur tersebut. Kebetulan ia berlangsung sebulan selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang julung kali diadakan bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima untuk kemasukan ke peringkat menengah.

Apa yang menyebabkan saya tertarik dengan Korea Selatan hanya dek minat lagu rancak Mentari Korea dinyanyikan Raja Ema, dan merupakan lagu tema bagi temasya berkenaan. Ironi, negara kimchi itu pernah mundur daripada Malaysia, namun bangkit awal 1980-an hatta mampu gah membina Jambatan Pulau Pinang yang tidak jauh dari rumah saya sendiri.

Berbalik cerita Korea Selatan, saya berasa bertuah apabila berpeluang ke negara itu pada 2010 yang ternyata amat maju bukan sahaja teknologi, bahkan cara hidup rakyatnya. Mereka tidak sahaja berdisiplin dari segi pematuhan masa, malahan amat pembersih seperti jirannya, Jepun waima tiada pencemaran udara berbanding tetangga yang satu lagi, China. Anehnya, bagi mereka yang pernah melawat Korea Selatan, tentu ‘perasan’ nama negara itu lazim dirujuk oleh kerajaannya sebagai Republic of Korea (RoK) dan bukan South Korea.

Nama Korea Selatan sebenarnya lebih bersifat rujukan popular pihak media tempatan dan antarabangsa, malah senario pelik yang agak sama turut melibatkan jirannya, Korea Utara. Mungkin tidak ramai tahu, nama rasminya ialah Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) dan sesiapa yang sebut nama Korea Utara di negara itu boleh dicekup dan dihukum bunuh!

Begitulah besar martabat nama negara itu tidak boleh dipermainkan waima ini dapat dilihat melalui siaran radio dan televisyen di China yang juga merujuk Korea Utara sebagai DPRK. Tindakan Beijing itu barangkali lebih bersifat diplomasi kerana ‘akrab’ dengan Pyongyang dari segi ideologi komunis setelah disisihkan oleh Rusia pasca kejatuhan Kesatuan Soviet.

LUCU
China sendiri merujuk nama negara itu sebagai Republik Rakyat China (PRC) dan bukan Republic of China (RoC) yang merupakan nama rasmi Taiwan, wilayah pulau pemberontak. Sementelahan, 164 negara berdaulat ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan DPRK, waima badan dunia itu sendiri merujuk nama rasmi Korea Utara sebagai DPRK. Situasi sama meliputi Korea Selatan apabila RoK digunakan PBB atas alasan nama Utara atau Selatan lebih bersifat geografi dan propaganda politik pasca Perang Korea 1950-1953.

Malaysia menerusi Wisma Putra jika dilihat kenyataan media Kementerian Luar Negeri sejak merdeka lagi turut merujuk dua negara yang berjiran sebangsa itu sebagai DPRK dan RoK. Terbaharu, memo rasmi kementerian itu dalam isu pengusiran diplomat Pyongyang turut merujuk nama negara tersebut sebagai DPRK tanpa ada langsung perkataan Korea Utara.

Kelakarnya, bagi jenis teliti, mungkin berasa janggal dek nama sahaja Demokratik, tetapi tiada sistem pilihan raya pun dibuat secara berkala di negara itu sejak dibentuk pada 1948. Senario lucu ini pernah jadi jenaka Barat bagi merujuk negara fahaman komunis era dahulu seperti Yemen Selatan, Jerman Timur dan Vietnam Utara sebelum bergabung dengan jirannya. Banyak negara bekas komunis pun menggunakan nama Demokratik tetapi yang berkuasa cuma satu parti dan rakyat tidak pula bebas memilih siapa wakil dalam proses pengundian.

Hakikatnya, nama sesebuah negara melambangkan imej maruah kebangsaan dan politik kenegaraan peringkat tinggi selain jiwa patriotik berdaulat yang nyata tiada galang gantinya. Sebab itulah, dalam arena diplomatik, tidak pernah kita dengar nama Indon atau Paki bagi merujuk Indonesia dan Pakistan kerana istilah ini jelas berbaur penghinaan paling biadab!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×