Kes Faisal Halim: Polis analisis cap jari ditinggal suspek 

Kes Faisal Halim: Polis analisis cap jari ditinggal suspek 

Mohd. Shuhaily (kiri) hadir ke pusat beli-belah kawasan lokasi kejadian simbah asid membabitkan Faisal Halim, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (cctv) di sekitar pusat beli- belah terbabit, suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.

 “Jadi kita sudah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan disitu.

 “Buat masa ini kita masih menunggu proses analisis cap jari ini dan sekiranya itu memberikan gambaran yang positif kita dapat ‘mendekatkan diri’ suspek-suspek terbaharu,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke lokasi kejadian di pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama beberapa pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi meneliti di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut CCTV, pihaknya belum dapat mengenal pasti wajah suspek dan sebagainya. 

“Ini kerana suspek memakai topi dan kamera (CCTV) tidak menjurus ke arah wajah suspek.

“Buat masa ini, tiada tangkapan baharu dan saya menidakkan apa jua laporan yang dikeluarkan oleh portal yang tidak sahih,” tegasnya. 

Ahad lalu, media melaporkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim disimbah cecair dipercayai asid hingga menyebabkan mengalami kelecuran tahap empat dalam kejadian di pusat beli-belah di Damansara dekat sini. 

Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 20 tahun, pada hari kejadian di Pandan Indah, Ampang manakala suspek kedua berusia 30-an itu ditahan di Bandar Baru Bangi dekat sini, petang Isnin. 

Bagaimanapun, polis mengesahkan suspek pertama bukan pelaku dalam kejadian terbabit. 

Pemeriksaan lanjut terhadap suspek kedua mendapati tujuh rekod lampau dan kini direman lima hari sehingga 11 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×