KOTA KINABALU: Tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menutup ruang bekerjasama dengan parti lain dari Semenanjung dikhuatiri akan mendatangkan kesukaran kepada gabungan itu untuk meneruskan kelangsungan politik pada masa akan datang.
Biarpun GRS mungkin mempunyai strategi sendiri untuk meneruskan kelangsungan politik mereka namun, pendirian yang diambil itu akan memberi kesan kepada gabungan tersebut pada masa akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Romzi Ationg berkata, kenyataan yang dibuat oleh GRS untuk menolak kerjasama dengan parti berpangkalan di Semenanjung itu mungkin ada makna tersirat.
Berkemungkinan mereka cuba mengelak strategi politik mereka diketahui umum khususnya, musuh politik.
“Saya yakin pemimpin GRS mempunyai kaedah sendiri untuk meneruskan kelangsungan politik mereka. Tidak dinafikan keengganan mereka bekerjasama dengan parti lain dari Semenanjung akan mempunyai kesan tertentu kepada GRS.
“Situasi itu mungkin akan menyebabkan GRS perlu bekerja keras untuk ‘survive’ pada masa akan datang,” katanya.
Romzi berkata, keengganan GRS bekerjasama dengan parti lain yang berpusat di Semenanjung juga memberi kesan positif dalam memperjuangkan sentimen borneo.
Usaha memperjuangkan aspirasi borneo akan dapat direalisasikan jika GRS kekal dengan pendirian untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti tempatan.
Sebelum ini, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, GRS menutup pintu kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan kekal dengan pendirian meneruskan kerjasama GRS-PH Plus di Sabah.
Joniston berkata, GRS yang terdiri daripada gabungan parti-parti tempatan itu cukup serasi dengan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negeri ini jadi, tiada sebab untuk mereka menjalin kerjasama dengan parti lain dari Semenanjung.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang. – UTUSAN










