JAKARTA: Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini dan memuntahkan menara abu hampir satu batu ke langit, mendorong pihak berkuasa menaikkan tahap berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhkan diri.
Gunung Ibu yang terletak di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada pukul 11:11 pagi waktu tempatan dan mengeluarkan asap gelap dan abu di atas puncak.
Menurut Agensi Volkanologi Indonesia (PVMBG), gunung berapi itu memuntahkan menara abu sejauh 1.5 kilometer di atas puncak.
Dalam pada itu, Ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, tahap aktiviti Gunung Ibu dinaikkan daripada tahap dua kepada tahap tiga menerusi sistem empat peringkat.
Pihak berkuasa membentuk zon pengecualian antara tiga dan lima kilometer di sekitar kawah gunung berapi itu.
Hendra turut menggesa penduduk berhampiran memakai topeng muka dan cermin mata ketika melakukan aktiviti luar dan bersiap sedia menghadapi abu gunung berapi yang jatuh.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Bulan lalu, Gunung Ruang di Provinsi Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa beribu-ribu penduduk pulau berdekatan berpindah.
Ia meletus lagi minggu lalu dan kekal pada tahap amaran tertinggi bagi sistem empat peringkat.
Kesemua 800 atau lebih penduduk pulau Ruang telah dipindahkan secara kekal.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado, terletak lebih 100 kilometer dari kawah, ditutup selama beberapa hari kerana abu gunung berapi. Namun, kini dibuka semula. -AFP










