Razali sering luang masa ziarah, hargai jasa bekas guru

Razali sering luang masa ziarah, hargai jasa bekas guru

RAZALI Idris (kiri) bertemu dengan bekas gurunya, Mohd. Daimin di Rhu Muda, Marang, baru-baru ini. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESIBUKAN tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghalang Datuk Razali Idris untuk meluangkan masa menziarahi bekas gurunya walaupun telah meninggalkan zaman persekolahan kira-kira 39 tahun lalu.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, hubungannya dengan beberapa bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu masih utuh.

Menurutnya, guru-guru ter­utama di sekolah menengah adalah insan yang banyak membentuk keperibadiannya untuk menjadi pemimpin yang baik ketika ini.

Katanya, antara guru yang sering diziarahi ialah bekas guru disiplin SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu iaitu Cikgu Mohd. Daimin, 70, yang kini tinggal di Rhu Muda, Marang, Terengganu.

“Alhamdulillah, Cikgu Mohd. masih sihat dan masih menabur jasa kepada masyarakat dengan menjadi siak di sebuah masjid di Rhu Muda untuk mengisi masa terluang selepas pencen.

“Saya tidak pernah berasa malu untuk mendapatkan na­si­hat dan panduan daripada cik­gu setiap kali ada masalah kerana percaya pengalaman mereka sangat berguna untuk kehidupan kita.

“Beliau adalah guru yang banyak membimbing dengan kata-kata azimat dan nasihat berguna kepada anak-anak muridnya,” katanya selepas menziarahi Cikgu Mohd. di Rhu Muda, baru-baru ini.

Razali yang mula bersekolah di SMK Sultan Sulaiman bermula tahun 1979 hingga 1983 juga menyifatkan corak didikan guru zaman dahulu sangat berkesan buat dirinya terutama dalam membentuk disiplin dan jati diri yang kuat.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­­­lancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu itu juga mengakui beliau tidak terlepas dari hukuman seperti rotan dan denda ketika bergelar pelajar sekolah.

“Adatlah ketika umur masih belasan tahun, memang agak nakal bersama rakan-rakan di sekolah namun perlakuan kami tidak keterlaluan dan masih dalam ‘radar’ guru disiplin.

“Hukuman yang diberi memang setimpal dengan kesalahan kami dan pelajar tetap menyayangi semua guru kerana faham mereka sangat ikhlas mendidik kami seperti anak sendiri.

“Tugas saya kini pastikan kebajikan mereka terus ter­bela, bertanya khabar kesihatan mereka dan ziarah jika ada masa kerana jasa guru terlalu besar dan sentiasa dikenang dalam doa berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×