SEGERA bawa anak yang mengalami demam tinggi dan batuk lebih dua hingga tiga hari kerana berkemungkinan anak dijangkiti radang paru-paru atau pneumokokal.
Penyakit pneumokokal adalah jangkitan berpunca daripada bakteria Streptococcus Pneumoniae atau Pneumokokus.
Ia boleh berjangkit dan berpotensi menyebabkan penyakit lebih serius termasuk pneumonia, meningitis dan sepsis yang membawa maut.
Pakar Perunding Pediatrik, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, pengesanan awal dan rawatan sangat penting bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk.
“Jangan tunggu atau sekadar beri anak makan paracetamol. Mereka juga akan batuk dan kadang-kala ia boleh memberi kesan ke atas telinga tengah yang menyebabkan bayi menangis berterusan.
“Bila nampak ada yang tidak kena dengan anak, bawa anak segera ke hospital untuk dirawat,” katanya pada pelancaran vaksin konjugat pneumokokus 15-valent generasi baharu yang dihasilkan MSD dan diluluskan oleh bagi melindungi kanak kanak dan orang dewasa melawan pneumokokal. Turut hadir, Pengarah Urusan, MSD Singapura, Malaysia dan Brunei, Dr. Abdullahi Sheri dan Pakar Penyakit Berjangkit, Prof. Petrick Periyasamy.
Vaksin berkenaan menawarkan perlindungan terhadap 15 serotaip Streptococcus pneumoniae untuk pencegahan penyakit pneumokokus, disebabkan Streptococcus pneumoniae serotaip 1, 3, 4, 5, 6A, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19A, 19F 22F, 23F dan 33F pada individu berumur enam minggu dan lebih tua.
Di Malaysia, prevalens radang paru-paru pada kanak kanak di bawah umur 5 tahun, antara 28 hingga 39 peratus dan menimbulkan ancaman besar kepada kanak-kanak.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menunjukkan ia menduduki tempat kedua sebagai penyebab utama kematian, menyumbang 13.3 peratus dalam semua kumpulan umur.
Untuk kanak-kanak berumur 0 sehingga 14 tahun, ia adalah punca kematian nombor satu, membentuk 4.0 peratus daripada kematian dalam kumpulan umur ini.
Penyakit pneumokokal juga menyumbang sehingga 21.7 peratus daripada kes pneumonia di Malaysia.
Streptococcus pneumoniae adalah patogen bakteria yang paling biasa untuk pneumonia yang menjangkiti masyarakat.
PEMBAWA VIRUS
Bakteria pneumokokus berada di bahagian belakang hidung pembawa virus dan ia boleh menjangkiti terus kepada orang lain.
Dr. Zulkifli berkata, kira kira 60 peratus pembawa adalah kanak-kanak, manakala pembawa dalam kalangan orang lebih dewasa adalah rendah iaitu satu dalam 10 orang.
“Dari hidung, ia bukan saja boleh menjangkiti orang lain tetapi bakteria ini akan naik ke bahagian telinga yang menyebabkan jangkitan telinga, seterusnya ke trakea, masuk ke paru-paru dan darah. Ia boleh turun ke sinus menyebabkan sinusitis serta boleh merebak ke otak.
“Pneumokokus menyebabkan penyakit pneumokokal dan beberapa penyakit lain. Ia boleh dibahagikan kepada non invasif (tidak begitu teruk) dan invasif (sangat teruk).Penyakit non invasif seperti sinusitis, jangkitan telinga tengah dan pneumonia,” katanya.
Tambahnya, bakterimia pneumonia berlaku selepas bakteria masuk ke dalam darah dan paru-paru menyebabkan pneumonia yang teruk, seterusnya ia boleh pergi ke otak dan menyebabkan meningitis.
Pneumonia adalah penyebab kedua kematian dalam kalangan orang ramai selepas penyakit jantung.
Ia juga adalah punca kematian utama dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 14 tahun.
Di Korea dan Jepun, pneumokokus menjadi punca kematian sehingga dua pertiga daripada kes.
Ini adalah bakteria yang disebabkan oleh pneumonia.
Di Taiwan kira-kira satu perempat, manakala di Malaysia maksimun 21 peratus kematian berlaku akibat pneumokokus.
“Kos rawatan untuk pneumonia boleh mencecah lebih RM25,000 bagi rawatan dan jumlah berkenaan meningkat sekiranya pesakit perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sekiranya pesakit dirawat di hospital kerajaan, kerajaan yang perlu menanggung kos ini. Lebih menyedihkan apabila ramai yang kehilangan keluarga terutama anak yang masih kecil,” kata Dr. Zulkifli.
VAKSIN CEGAH JANGKITAN
Dalam kalangan kanak-kanak sudah ada vaksin pneumokokal tetapi mereka masih menjangkitkan orang lebih tua pada peringkat tertentu.
Justeru vaksin berkenaan mula diberikan kepada orang dewasa.
Dr. Zulkifli berkata, Kementerian Kesihatan kini turut menitikberatkan vaksin dalam kalangan orang dewasa dengan menumpukan pemberian vaksin ke atas mereka yang berusia lebih 60 tahun ke atas, bermula dengan pesakit hipertensi, strok dan diabetes.
“Vaksin sudah diperkenalkan sejak tahun 2000 iaitu vaksin konjugat pneumokokus yang pertama (Prevnar 7, PCV7) namun hanya diberikan kepada bayi dan kanak-kanak.
“Kesannya jangkitan ke atas orang dewasa, menurun. Ia bukan disebabkan orang dewasa diberikan vaksin tetapi kerana kanak-kanak yang menerima vaksin tidak akan menjangkiti datuk dan nenek mereka.
“Sebelum ini kanak-kanak datang ke rumah datuk dan nenek. Apabila. Mereka batuk, bakteria akan menjangkiti datuk dan nenek mereka tetapi selepas divaksin, jangkitan berkurangan,” katanya.
Tambah Dr. Zulki i, apabila valent 13 diperkenalkan pada tahun 2010 kepada orang dewasa, tiada apa yang berlaku namun pada 2014, valent 13 diberikan bersama vaksin polisakarida valent 23 untuk individu berusia 65 tahun ke atas dan terdapat penurunan kes jangkitan.
FAHAMI SEROTAIP
Apabila bercakap mengenai vaksin, vaksin mengandungi serotaip iaitu kumpulan sel atau mikroorganisma seperti bakteria atau virus.
Serotaip diberikan nombor dan alphabet seperti serotaip 1, 3, 4, 5, 6A, 6B dan sebagainya. Ini semua adalah ‘adik-beradik’ pneumokokus.
Dr. Zulkifli berkata, streptococcus pneumonie atau yang di panggil pneumococus turut mempunyai beberapa serotaip.
“Dalam vaksin terbaharu ini terdapat 15 serotaip didalamnya. Apabila dikatakan 13 atau 15, ini bermakna ada 13 vaksin didalamnya. Setiap satu ada kesan ke atas bakteria tertentu.
“Sebelum ini ada 103 serotaip dan terbaharu ada 104. Nombor ini sebenarnya akan bertambah dan akan terdapat serotaip baharu di masa depan,” katanya.
SEROTAIP PALING BAHAYA
Sementara itu, Prof. Periasamy berkata, kajian dilakukan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 2009, mendapati kewujudan Streptococcus Pneumonie tetapi pada masa itu, ia bukan jangkitan nombor satu.
Ini disebabkan cara ia diuji di hospital KKM, menggunakan teknik berasaskan pengkulturan yang tidak begitu sensitif.
“Pesakit sebelum itu sudah pergi ke doktor di luar dan mengambil antibiotik kemudian datang ke hospital untuk menjalani ujian darah. Hasilnya negatif. Ia berlaku dari tahun ke tahun sehingga gagal mengesan bakteria ini.
“Pada 2011, ada ujian yang lebih spesifik dijalankan dan didapati ia adalah punca utama pneumonia di hospital. Pada tahun 2012, soalan sama ditanya mengenai punca pneumonia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Pada masa itu ada ujian air kencing dan antigen,” katanya.

FAHAMI SEROTAIP
Hari ini, boleh dikatakan Streptococcus Pneumonie adalah punca penyakit pneumonia dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital. Kajian terbesar dilakukan di 21 hospital utama pada 2019 sehingga 2022, menunjukkan serotaip paling bahaya dan membimbangkan adalah serotaip 3 diikuti 19F dan 19A.
Serotaip 3 paling bahaya kerana kapsulnya berbeza, lebih besar dan tebal berbanding serotaip lain. Malah dalam kes yang tidak teruk, seperti jangkitan dalam telinga, masih terdapat serotaip 3.
Serotaip akan bertukar sama ada menggunakan tenaga semulajadi atau dengan kehadiran vaksin.
“Menyedari punca utama penyakit pneumokokal, adalah perlu untuk kita mencari vaksin lebih baik untuk melindungi orang ramai daripada Serotaip 3. Bagaimanapun, sukar untuk memantau jenis serotaip yang ada dan vaksin sempurna yang menyasarkan serotaip ini.
“Dijangkiti pneumonia dalam usia 60 an ke atas sangat membimbangkan dan boleh berakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU). Jadi, jangan tunggu untuk mendapatkan vaksinasi kerana anda bukan saja melindungi diri tetapi orang di sekeliling anda.
“Jangan kir, anda berusia 65 tahun tapi sihat kerana anda pasti akan keluar untuk pelbagai tujuan dan bercampur dengan pelbagai orang di tempat awam yang boleh meningkatkan risiko dijangkiti,” katanya.
Bagi golongan muda yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi atau tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, berisiko tiga kali ganda untuk dijangkiti.
Mereka yang menjalani kemoterapi, pemindahan atau transplan pula, berisiko 10 kali ganda dijangkiti, manakala perokok pula tujuh kali berisiko dijangkiti.
LANGKAH PEMANTAUAN
Dr. Periasamy mencadangkan penggunaan kaedah digital, di mana semua orang menggunakan pusat sistem input serotaip untuk perkongsian data dengan kerjasama organisasi dalam kerajaan seperti Lembaga Pelancongan Malaysia boleh dilakukan bagi mengesan serotaip yang ada terutama melalui kemasukan pelancong luar.
Dr. Zulkifli pula berkata, doktor yang merawat pesakit perlu membuat laporan mengenai perkara ini kerana banyak kes tidak dilaporkan.
“Tempoh mengesan jenis serotaip turut perlu dipercepatkan. Doktor perlu memberikan kesedaran kepada doktor di bidang lain mengenai penyakit pneumokokal menerusi kepentingan vaksinasi dan pencegahan berbanding bercakap mengenai rawatan semata-mata,” katanya.











