TAMPIN: Hujan lebat lebih dua jam awal pagi tadi menyebabkan lima buah kedai di Gemencheh terjejas banjir kilat, selain sebuah kenderaan pacuan empat roda terperangkap.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd. Fadhil Hassan berkata, pemandu kereta berkenaan bagaimanapun selamat setelah berjaya keluar dari kenderaan itu dengan bantuan yang diberikan pasukan penyelamat.
Menurut beliau, banjir berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi setelah hujan bermula pukul 10 malam dan kawasan terlibat iaitu Jalan Gemencheh-Batang Melaka, dekat Ladang Regent, Gemencheh merupakan kawasan hotspot banjir dan ketinggian aras banjir berlaku antara 0.1 hingga 0.9 meter.
“Bagi kejadian banjir kilat ini, punca dikenal pasti sebagai hujan lebat di kawasan tadahan. Bacaan hujan yang direkodkan di stesen hujan Empang Sungai Dua adalah sebanyak 51 milimeter (mm),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Fadhil lagi, bagi penyelesaian jangka pendek, kerja-kerja pembersihan sistem perparitan pasca banjir akan dilakukan dan kerja-kerja penyaluran Sungai Chemangkoh.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, naiktaraf sistem perparitan bakal dibuat merujuk cadangan dari Laporan Pelan Induk Saliran Mesra Alam Pekan Gemencheh oleh yang agensi berkaitan,” katanya.-UTUSAN.










