SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK artikel Kerajaan gagal mengurus ekonomi, membela nasib rakyat? terbitan Utusan Malaysia pada 30 April lalu, saya ingin memberi sedikit pandangan sama ada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat benar-benar gagal melakukan pemulihan sosioekonomi atau tidak.
Jawapan kepada persoalan itu juga haru mengambil kira bahawa Kerajaan Perpaduan ini baharu sahaja 17 bulan memerintah. Sudah tentu beberapa permasalahan ekonomi rakyat yang berakar umbi berdekad lamanya tidak akan mudah diselesaikan dalam masa 17 bulan.
Namun merujuk kepada statistik, ada perubahan dan kemajuan yang dicapai yang harus diberi perhatian dan iktiraf.
Sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berterusan mencatat pertumbuhan positif setiap suku tahun dari 2022 (kerajaan perpaduan ditubuh) sehinggalah suku tahun pertama 2024. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan berjumlah RM329.5 billion pada 2023 yang meningkat 23 peratus lebih tinggi dari 2022.
Negara kita juga berterusan mencatatkan lebihan akaun semasa dan imbangan dagangan yang positif sehingga sekarang. Kadar inflasi juga telah turun daripada 4 peratus semasa Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri kepada 1.8 peratus pada bulan Mac, malahan pernah turun sehingga 1.5 peratus dua bulan lepas.
Apabila kita membeli ayam di pasar, harganya hanya sekitar RM8 sekilo yang tidak lagi dikawal, jauh lagi murah dari harga kawalan ayam sebelum ini pada 2022 iaitu RM9.40.
Tarif air dan elektrik masih lagi dikawal oleh kerajaan bagi memastikan ia kekal rendah. Minyak petroleum RON95 pun masih dikawal pada RM2.05 per liter. Malahan minyak masak paket dan telur ayam juga masih dikawal harganya.
Antara agenda utama Anwar apabila menjadi perdana menteri ialah membasmi kemiskinan dan ianya disebut dalam Belanjawan 2023 dan 2024 sebagai agenda utama dan ia berjaya dilakukan apabila purata gaji dan upah bulanan di Malaysia meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021.
Kadar pengangguran juga menurun kepada paras sebelum wabak Covid-19 sebanyak 3.3 peratus pada suku keempat 2023. Jumlah tenaga kerja juga turut meningkat kepada 16.43 juta pekerja.
Kesemua pencapaian ekonomi ini tidak akan berlaku jika tiada keyakinan daripada pelabur tempatan dan asing, termasuk sentimen peniaga dan orang awam. Ini terbukti apabila Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International menunjukkan Malaysia mencatatkan skor persepsi yang lebih tinggi dari sebelum ini, dari skor 47 kepada skor 50 pada tahun 2023.
Ini bermakna Anwar berjaya memulihkan persepsi kerajaan Malaysia di mata dunia. Keyakinan pelabur juga terbukti di pasaran saham apabila Indeks KLCI mencatatkan mata melebihi 1,570 sejak kebelakangan ini, jauh lagi tinggi dari mata 1382 pada bulan Oktober 2022.-UTUSAN
DR. AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
Universiti Putra Malaysia (UPM)










