KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah memanggil empat lelaki bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berkait kes melepaskan di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas awal pagi kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek yang melepaskan tembakan itu masih berada di negara ini.
“Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kes itu masih diteruskan. Sekiranya suspek melarikan diri ke negara jiran, kita akan meminta bantuan pihak berkuasa di negara berkenaan untuk mengesan suspek.
“Motif kejadian sudah dapat dan kita tidak menolak kemungkin terdapat konflik antara suspek dan mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid turut mencemar duli ke majlis tersebut.
Muhamad Zaki memberitahu, susulan itu pihaknya dijangka memanggil lagi beberapa saksi untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Utusan Online semalam melaporkan, Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan pemandu lori yang menjadi mangsa kes tembak di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas awal semalam mengenali suspek terlibat kejadian tersebut.
Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 33 tahun mengenali kedua-dua suspek sekali gus menjadikan individu yang terlibat sudah dikenal pasti.-UTUSAN










