PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan menganjurkan pameran Bursa Marketplace Fair 2024 (Marketplace Fair) di Suria Sabah Shopping Mall di Kota Kinabalu pada 11 Mei hingga 12 Mei tahun ini bertemakan ‘Invest Today, Harvest Tomorrow’.
Marketplace Fair sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia mempromosikan literasi kewangan dengan pengetahuan peluang pelaburan dalam pelbagai jenis aset yang ditawarkan, seperti saham, dana dagangan, waran berstruktur, derivatif dan emas.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Marketplace Fair diharapkan dapat meningkatkan literasi kewangan di Malaysia Timur dan di Semenanjung Malaysia dan dijangka menarik lebih daripada 2,000 peserta.
“Kami komited meningkatkan pemahaman dan penyertaan dalam pelaburan saham awal, serta menyesuaikan tawaran kami untuk memenuhi keperluan pelbagai pelabur runcit.
“Bulan lalu, kami menerbitkan Maklumat Terkini Penyelidikan Pelabur Runcit Malaysia yang menyediakan maklumat berguna untuk industri serta percaya segmen pelabur runcit akan terus memainkan peranan signifikan meningkatkan likuiditi pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Penganjuran Bursa Marketplace Fair 2024 di Kota Kinabalu menandakan kali pertama diadakan di Malaysia Timur dan merupakan pameran fizikal ketiga diadakan di luar Kuala Lumpur, mengikuti edisi sebelumnya di Pulau Pinang (2019) dan Johor Bahru (2023).
Katanya, hanya kira-kira satu peratus daripada penduduk Sabah yang membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) untuk mengambil peluang dari pelaburan dalam sekuriti yang ditawarkan oleh bursa.
“Ini menunjukkan bahawa terdapat potensi besar pelabur yang belum dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, Marketplace Fair akan menyediakan peluang kepada pelabur untuk meneroka platform digital serta sumber lain yang membantu memperkasa dan membolehkan perjalanan pelaburan mereka.
“Ia termasuk ABurmon Trader, Aplikasi Bursa Anywhere, MyBursa dan Bursa Gold Dinar,” ujarnya. – UTUSAN










