GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menyambut baik persetujuan kerajaan Perak untuk menyediakan bekalan air melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai menerusi Projek Air Perak-Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penyaluran bekalan air bagi fasa pertama menerusi projek terbabit akan sampai ke Seberang Perai termasuk di Nibong Tebal serta Sungai Bakap.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang ini adalah amat penting kerana ia bukan sahaja akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah keperluan 32,993 akaun pengguna di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kini akan lebih terjamin.
“Ini termasuk pusat-pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta pusat yang bakal diwujudkan nanti.
“Berasaskan komitmen kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat Pulau Pinang, adalah diharapkan projek yang telah tertangguh selama 13 tahun ini akan dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian hingga ke Seberang Perai.
Kata beliau, perkara itu telah diperkenankan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta dipersetujui oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang, di sini, semalam.-UTUSAN










