Wanita tarik jasad suami, dua anak dari sungai

Wanita tarik jasad suami, dua anak dari sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Seorang wanita terpaksa menarik jasad suami dan dua anaknya yang lemas di Sungai Balak, Jalan Genting Lama-Batang Kali di sini, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, wanita berusia 37 tahun sedang duduk berhampiran sungai iaitu lokasi suami dan dua anaknya dipercayai lemas.

Keluarga terbabit yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang itu mempunyai rumah singgah di Kampung Kuantan, Batang Kali di sini, sebelum ke sungai itu untuk mandi-manda pada hujung minggu.

Ketiga-tiga mangsa yang lemas dikenal pasti sebagai Arif Fadzil Abdul Saleh, 43, serta dua anaknya dikenali sebagai Damia, 9, dan Malik, 6.

Menceritakan kejadian, kakak ipar mangsa, Siti Fairus Samsudin, 40 berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila salah seorang anaknya tergelincir ke dalam sungai berkenaan.

“Dalam masa sama, seorang lagi anaknya juga turut terjun menyebabkan arwah Arif Fadzil Abdul Saleh cuba menyelamatkan anaknya namun gagal.

“Ketika kejadian isteri mangsa sedang menjaga bayi yang juga anak bongsu mereka berhampiran sungai berkenaan sebelum menyaksikan tragedi lemas itu di depan mata,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik di Hospital Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Menurutnya, ketika ini mereka sekeluarga sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital sebelum membawa pulang ketiga-tiga jenazah untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, berkata, mayat kesemua mangsa ditemukan oleh orang awam pada 1.30 petang.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila anak perempuan yang berusia sembilan tahun telah tergelincir hingga menyebabkan bapanya terjun ke sungai untuk menyelamat kanak-kanak itu.

“Tanpa disedari oleh si ibu, anak lelakinya yang berusia enam tahun turut terjun ke dalam sungai menyebabkan ketiga-tiga mereka lemas.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan dan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat,”katanya.

Menurutnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai dinasihati sentiasa peka dengan keselamatan diri dan anggota keluarga ketika melakukan aktiviti air di kawasan Hulu Selangor bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×