PETALING JAYA: Kerajaan dijangka dapat mengurangkan beban fizikal kewangan negara dan menjimatkan hampir RM30 billion setahun jika inisiatif pengurangan subsidi bahan api seperti diesel dan petrol dilaksanakan.
Penjimatan itu boleh disalurkan untuk tujuan lain termasuk meningkatkan kesejahteraan rakyat seperti perbelanjaan pembangunan dan operasi kerajaan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, kesan jangka panjang langkah itu memberi impak yang baik kepada perbelanjaan fizikal negara kerana ia menjimatkan perbelanjaan sehingga hampir RM20 hingga RM30 bilion setahun.
“Penjimatan ini memberi manfaat kepada sektor-sektor kritikal negara seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar yang boleh diberi penumpuan lebih efisien dan penambahbaikan dari segi sistem yang sedia ada serta menyeluruh kepada semua rakyat.
“Dari aspek negatif pula, sudah pasti ia memberi kesan kepada rakyat terutama bagi golongan yang tercicir daripada menikmati subsidi ini walaupun layak kerana ketidaktepatan data sedia ada,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyangkal laporan media luar negara kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, mesyuarat Jemaah Menteri langsung tidak membincangkan perkara itu sebelum ini, termasuk minggu lepas.

Bashir Ahmad berkata, kesan jangka masa pendek pengurangan subsidi bahan api lebih bersifat anjal kerana pembeli dan penjual memerlukan masa untuk mengimbangi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Pada masa sama katanya, pergerakan ekonomi domestik dijangka bergerak pada fasa yang perlahan sehingga hujung tahun ini.
“Tetapi jika dilihat dari sudut jangka masa panjang, apabila keseimbangan permintaaan dan penawaran domestik dapat diimbangi dengan pengurangan subsidi petrol ini, ia menunjukkan momentum peningkatan secara sederhana terhadap domestik ekonomi diimbangi dengan kenaikan gaji kakitangan awam serta kawalan dan pertumbuhan monetari negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan inflasi mungkin berlaku disebabkan kenaikan harga minyak ekoran pengurangan subsidi yang memberi kesan kepada rantaian perniagaan seperti pengangkutan, bahan mentah dan tenaga buruh.
Katanya, pengurangan subsidi sudah semestinya memberi ruang kepada kerajaan untuk membelanjakan kepada perkara yang lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
“Justeru, ada impak jangka pendek dan panjang iaitu inflasi yang memberi kesan kepada rakyat manakala bagi subsidi bahan api pula, meskipun membantu dalam mengekalkan harga petrol namun masih ada kos yang perlu ditanggung oleh generasi akan datang.
“Di samping itu, ia memberi mesej yang positif berkaitan disiplin kewangan kerajaan yang mana membantu dalam penilaian kredit yang positif oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Group. Buat masa ini, penarafan kredit kerajaan Malaysia berada pada paras A3, A- dan BBB+ oleh ketiga-tiga agensi penarafan kerajaan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa usaha kerajaan meningkatkan produktiviti negara adalah penting kerana melibatkan pelaburan jangka panjang seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur serta pelaburan yang memerlukan dana.
“Oleh itu, perkara ini perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya supaya rakyat faham kesannya pada masa jangka panjang,” katanya. – UTUSAN











