Telur masin Azwanfarm jadi pilihan restoran dengan sijil halal - Utusan Malaysia

Telur masin Azwanfarm jadi pilihan restoran dengan sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula dengan hobi membela itik, Azwan Zainudin, 34, kini sudah menternak lebih 3,000 itik telur yang mampu menghasilkan sekitar 50,000 hingga 60,000 biji telur setiap bulan.

Pemilik Azwanfarm Seremban yang terletak di Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan itu berkata, dia mula menternak itik telur secara serius setelah perniagaan dalam makanan dan minuman (F&B) iaitu kedai makan dan kafe terpaksa ditutup akibat terjejas pandemik Covid-19.

Oleh itu, dia telah memutuskan untuk membela itik telur pada 2020 dan memasarkan telur itik segar dan telur itik masin di kedai dan restoran.

Katanya, telur itik masin keluarannya yang telah menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2022 menyumbang kira-kira 50 peratus daripada pengeluaranya.

“Pelanggan untuk telur masin ini terutamanya oleh restoran-restoran yang mempunyai pensijilan halal kerana mereka memerlukan bahan mentah yang juga mempunyai diiktiraf halal.

“Buat masa ini, ada tiga buah restoran besar yang mengambil telur masin ini daripada kami. Ada yang ambil sehingga 10,000 biji telur masin sebulan.

“Bahan-bahan yang kami gunakan untuk membuat telur masin termasuk garam juga menerima pensijilan. Ini kerana, untuk mendapatkan pengiktirafan halal ini, bahan-bahan yang digunakan dalam proses pembuatan itu juga perlu diiktiraf,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Azwan berkata, selain mengedarkan dan mempunyai pelanggan tetap di Negeri Sembilan dan Selangor, produknya juga dijual di seluruh negara menggunakan platform Shopee.

Menurutnya, Azwanfarm juga menyasarkan untuk menambah lagi ternakan itiknya kepada 5,000 ekor menjelang akhir tahun depan.

“Tambahan itik tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kami supaya dapat memasarkan kepada lebih banyak kedai.

“Sebenarnya, kami sentiasa menambah jumlah itik di ladang, tetapi ia dibuat secara berperingkat. Ini bagi mengawal penawaran dan permintaan produk kami dalam pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×