BUTTERWORTH : Seorang remaja lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 13.9 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dari arah Kulim menghala ke Seberang Jaya kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa berusia 19 tahun dan merupakan warga tempatan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki akibat kejadian itu.
“Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Helmi berkata, ketika ini, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan melihat kejadian itu diminta supaya tampil ke depan bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada cawangan trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau boleh menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujar beliau.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 27 saat menunjukkan mangsa dihimpit hingga ke pembahagi jalan ketika cuba memotong sebuah lori semasa berada di lebuh raya berkenaan.
Akibatnya, mangsa terseret di pembahagi jalan tersebut sebelum terjatuh dan tergolek dalam keadaan yang mengerikan.










