Dari perca dibuat kebaya

Dari perca dibuat kebaya

REPLIKA kebaya setengah tiang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCA kain merupakan sahabat karib bagi mana-mana tukang jahit. Memanfaatkan kain perca daripada terbuang begitu sahaja mendorong tukang jahit, Rafidah Nani Afandi, 46, menghasilkan kebaya mini bagi tujuan hiasan. 

Hingga kini, beliau sudahpun menyiapkan lebih 1,000 kebaya mini.

Ibu dua anak berusia 23 dan 25 tahun ini berkata, hobi itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 lalu. 

“Saya ada banyak perca kain yang merupakan lebihan daripada seluar palazo batik yang saya hasilkan. 

“Daripada terperam lama dan menyesakkan pandangan, saya mula mencantumkan satu persatu kepingan batik dimiliki hinggalah menjadi busana kebaya,” katanya kepada Seri.

Ujarnya, idea menghasilkan kebaya mini itu tercetus susulan tindakannya meletakkan kebaya Jawa arwah emak dalam bingkai gambar untuk digantung di dinding kediaman. 

“Perca batik biasanya dibuat beg sahaja tetapi saya cuba lari daripada stereotaip itu dan mahu hasilkan sesuatu yang dekat dengan diri. 

“Memandangkan saya dan arwah emak merupakan peminat kebaya, kenapa tidak saya buat replika baju tradisional kita,” katanya.

Wanita asal Kampung Temeris, Kuala Pilah ini mewarisi lima kebaya pendek Jawa daripada ibunva dengan satu daripadanya berusia lebih 40 tahun. 

Selain itu, dia juga mempunyai puluhan kebaya labuh dalam koleksi peribadi. 

Berkongsi minatnya pada seni kraf, kata Rafidah Nani ia mula disemai seawal usianya 15 tahun selepas memenangi banyak pertandingan di peringkat kampung. 

“Saya gemarkan hiasan atau gubahan daripada bahan terbuang tetapi apabila ada anak dan sibuk dengan kerja hakiki, sudah tiada masa untuk membuatnya.

“Tetapi apabila PKP, saya dapat membuat kraf semula dengan menghasilkan replika kebaya mini,” katanya.

SAIZ MINI LEBIH RUMIT

Sebagai tukang jahit berpengalaman, wanita ini mengakui, menghasilkan replika lebih sukar berbanding menyiapkan busana sebenar. 

“Pembuatan baju replika mini sememangnya rumit dan berkali-kali cubaan dibuat bagi menghasilkan polanya. 

“Disebabkan kerumitan itu, saya terpaksa hasilkan kebaya tanpa lengan semasa di peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, atas permintaan pengikut di laman sosial, dia kemudian mencuba menghasilkan kebaya tradisi yang sebetulnya.

“Tidak sangka ramai pula yang berminat untuk menempah selepas mereka lihat gambar-gambar yang dimuat naik di Facebook,” katanya. 

Rafidah Nani berkata, antara rekaan yang dihasilkan ialah kebaya biasa dan Kota Bharu manakala terbaharu, busana Jawa dan setengah tiang. 

Tambah menarik apabila replika busana berkenaan ditampalkan dalam bingkai, sekali gus memberikan nilai eksklusif. 

Mengulas mengenai proses pembuatan, katanya, sebanyak enam replika kebaya dapat disiapkan dalam tempoh sejam. 

Antara bahan diperlukan ialah kertas gam paling tebal, kain batik lepas, gam kayu dan benang jeans.

Kongsinya, langkah pertama ialah melukis pola di atas kertas gam bagi ditampal pada perca batik sebelum digosok.

Kemudian kelim bahagian tepi kain dan letakkan gam sebelum dijahit. 

“Semasa gam, elak sebarang kesilapan kerana replika tidak boleh dibuka semula selepas dilekat,” katanya.

KEBAYA SETENGAH TIANG

Dalam banyak jenis kebaya, kebaya setengah tiang paling susah dengan setiap satunya mengambil masa kira-kira sejam untuk disiapkan. 

Rafidah Nani adalah individu pertama menghasilkan replika kebaya setengah tiang. 

Kebaya ini merupakan busana tradisi Negeri Sembilan. 

“Membuat rekaan replika kebaya ini paling mencabar adalah pada bahagian lehernya. 

“Ia pertama kali dibuat pada November lalu apabila menerima tempahan cenderamata untuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun,” katanya.

Busana ini dikenali sebagai setengah tiang kerana bajunya labuh sedikit daripada kebaya pendek, namun tidak selabuh kebaya panjang.

Potongan lengan pula kembang di hujung dengan bahagian depan berbelah dan berpesak Iurus. 

Ujar Rafidah Nani, replika kebaya mini yang dihasilkannya turut dibeli rakvat Malaysia di luar negara antaranya Singapura, Brunei dan Asia Barat. 

Katanya, harga bermula daripada RM40 untuk replika berukuran 30×40 sentimeter diikuti kebaya setengah tiang RM260 (14×18 inci) dan saiz paling besar antara RM320 hingga RM360 (empat kaki).

Selain itu, tempahan membingkaikan kebaya sebenar turut disediakan dengan caj dikenakan sehinga RM250.

PELIHARA SENI BUDAYA

Inisiatif Rafidah Nani bukan sahaja dapat memelihara seni budaya tradisi, malah dapat menggalakkan masyarakat untuk mengenali dan menghargai busana tempatan.

Selagi kudrat kuat dan mata masih terang, dia mahu meneruskan hobi itu. 

“Hobi ini membantu menambahkan pendapatan saya apabila mampu menjana pulangan bersih kira-kira RM2,000 seminggu menerusi penjualan bingkai replika kebaya dan pokok duit. 

“Dalam sebulan lebih 100 replika bersaiz biasa iaitu 30×40 sentimeter dihasilkan,” katanya. 

Sementara itu, wanita ini merancang untuk mengeluarkan bingkai set pasangan yang mengandungi replika kebaya dan kemeja batik lelaki dalam masa terdekat. 

Walaupun ada permintaan untuk membuat baju kurung, namun dia menolak kerana mahu mengekalkan identiti kebaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×