Queen of Tears: yang kekal hidup hanya memori - Utusan Malaysia

Queen of Tears: yang kekal hidup hanya memori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ini kali pertama bos mencadangkan agar saya membuat sebuah ulasan drama dari Korea Selatan. Sebagai pekerja yang baik, saya pun meneliti apakah drama yang sedang mendapat perhatian dan kebetulan, ketika itu, Queen Of Tears (QOT) baru sahaja menjengah ke platform penstriman Netflix.

Ketika menulis artikel ini, saya telah pun mengabdikan komitmen saya selama lapan minggu menanti episod terkini QOT demi memberi huraian yang saksama.

Hasil semakan, rupa-rupanya QOT dihasilkan oleh Park Ji-eun, penulis yang sama menghasilkan drama dengan jumlah rating paling tinggi di Korea Selatan sebelum ini iaitu Crash Landing On You. Maka QOT boleh dikatakan sebuah eksperimen baru bagi Ji-eun untuk mengalahkan rekod cemerlang yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Kepada yang belum menonton, biar saya berikan sedikit pencerahan tanpa unsur-unsur pembocoran cerita. QOT mengisahkan tentang Baek Hyun-woo, seorang lelaki yang ingin bercerai dengan isterinya, Hae-in selepas rumah tangga mereka menjadi sangat dingin beberapa tahun terakhir.

Namun, ketika dia mahu menyerahkan borang perceraian, dia diberitahu isterinya menghidap penyakit dan hanya mempunyai masa tiga bulan sahaja untuk hidup. Maka Baek menunggu agar isterinya mati secara semula jadi.

Saya berpendapat, aksi satu drama ini disusun cemerlang oleh Ji-eun dalam dua episod pertama. Penonton dibuat membenci watak Hae-in dan keluarga yang begitu meninggi diri.

Tetapi, memasuki aksi kedua, Ji-eun bijak bermain emosi, mula perlahan-lahan mengikat penonton dengan sedikit elemen komikal antara dua watak utama. Melonggarkan sedikit kedinginan Haein dengan sisi lemahnya memandangkan sakitnya sudah menyerang.

Bukan itu sahaja, beberapa subplot dalam cerita ini semakin berkembang dan berkumpul di tiga episod pertengahan drama ini.

Aksi ketiga QOT sangat lama kerana ia bukan lagi membawa cerita tentang Baek dan Hae-in sahaja.

Cuma saya berpendapat, sekiranya saya menonton drama ini secara sekali gus, saya akan merasakan drama ini mempunyai terlalu banyak konflik yang berlaku pada masa yang sama. Konfliknya tidak berat dan besar tetapi terlalu padat.

Namun kerana saya menontonnya secara berperingkat, ia tidak terasa seperti disumbat-sumbat. Di penghabisan cerita, pengarah berjaya membuatkan kita berasa tidak ada watak yang benar-benar jahat dalam naskhah ini. Ada sebab yang besar membuatkan seseorang berubah.

Saya telah menonton beberapa projek lakonan Kim Ji-won dan Kim Soo-hyun sebelum ini. Gandingan mereka dalam drama ini bagaimanapun adalah kunci terbesar kejayaan QOT. Sehingga kini saya tidak boleh melupakan bagaimana Baek lakonan Kim menutup mulutnya sambil menangis teresak-esak kerana kehilangan anaknya.

Ketika drama-drama kini asyik bercerita tentang penyondol dan kecurangan, QOT hadir memberi sisi lain bagaimana seseorang berusaha menyelamatkan perkahwinan.

QOT sebenarnya membawa inti penting bahawa kekayaan sebenar dalam hidup bukan tentang harta. Tapi tentang keluarga yang saling menyayangi walau dalam keadaan tidak sempurna. Kita semua akan mati, yang kekal hidup hanyalah memori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×