Malaysia mungkin akan import gas sepenuhnya menjelang 2050

Malaysia mungkin akan import gas sepenuhnya menjelang 2050 – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan mengimport gas sepenuhnya menjelang 2050 untuk menjana tenaga elektrik jika kerajaan tidak membuat peralihan kepada penggunaan tenaga yang lebih bersih. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, setakat tahun lalu Malaysia mengimport sebanyak 25 peratus gas untuk menjana tenaga elektrik dan keadaan ini dilihat akan berterusan serta negara dijangka akan mengimport sehingga 30 peratus gas untuk tenaga elektrik tahun ini.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan telah tampil dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) agar negara tidak ketinggalan dalam peralihan global ke arah penggunaan tenaga bersih. 

“Tenaga elektrik murah ini juga yang sebelum ini menjadi satu daripada daya tarikan kepada pelabur untuk melabur ke dalam negara kerana kita menawarkan tarif elektrik yang antara termurah di rantau ini.

“Tahun lalu, jumlah gas yang kita gunakan untuk menjana elektrik, 25 peratusnya perlu diimport dan tahun ini dijangka jumlah itu meningkat 30 peratus.

“Kita sudah melihat negara lain apa jadi kepada mereka apabila mengimport gas dan kemudian terjadi isu geopolitik seperti perang antara Ukraine dan Rusia,” katanya kepada pemberita selepas program INTAN Minister’s Conversation (IMC) dalam wacana bertajuk ‘Ekonomi Madani Mampan, Rakyat sejahtera’ 2024 di sini. 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbang langkah terbaik untuk memperkukuhkan ekosistem semikonduktor di negara ini sekali gus melahirkan lebih banyak pengeluar cip semikonduktor tempatan yang  menembusi pasaran antarabangsa. 

Katanya, sebagai permulaan, kerajaan melihat untuk menyediakan langkah lonjakan awal seperti keperluan dasar untuk memudahkan dan mewujudkan firma mereka cip semikonduktor. 

Rafizi berkata, setakat ini, Malaysia masih belum lagi mempunyai syarikat tempatan yang melahirkan produk dan berskala besar. 

“Perkara yang dipertimbangkan adalah bagaimana untuk mempunyai lonjakan awal. Jika tidak, mereka perlu bersaing 100 peratus dengan pemain global seluruh dunia,” katanya

Ketika ditanya mengenai peruntukan pelarasan gaji penjawat, Rafizi berkata, maklumat lanjut mengenai peruntukan RM10 billion bagi kenaikan lebih 13 peratus penjawat awam mulai 1 Disember depan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025. 

“Kenaikan gaji kena tanya PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Masing-masing menjalankan tugas. Perkara itu akan dimaklumkan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 dijangka pada Oktober dan lihat bagaimana peruntukan itu dibiayai,” katanya. 

Pada Rabu lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×