MELAKA: Taktik sebuah restoran mamak di Semabok di sini, menggunakan minyak masak peket bersubsidi dengan modus operandi baharu berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan di asrama pekerja restoran berkenaan, pihaknya menemui 20 kotak mengandungi 340 peket minyak masak bersubsidi yang kemudiannya dipercayai dipindahkan ke dalam botol lima kilogram (kg).
Menurutnya, hasil siasatan mendapati ia adalah taktik pemilik restoran yang cuba mengelak dikesan pihak berkuasa kerana menggunakan minyak masak peket bersubsidi yang sepatutnya digunakan isi rumah.
Beliau berkata, selain minyak masak, turut ditemui di asrama itu adalah tepung gandum sebanyak 377 kg dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengenai pelbagai kesalahan dilakukan di restoran berkenaan lewat malam tadi.
“Siasatan awal kita mulanya mendapati restoran ini tidak mempamerkan tanda harga pada menu. Tetapi apabila disoal siasat seorang pekerja mengakui menyimpan minyak masak peket bersubsidi di asrama pekerja,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Mohd. Noor Helmy berkata, beliau menerima aduan orang ramai sewaktu mengadakan Jamuan Mega Raya Duyong Kita 2024 di Taman Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, malam semalam.
“Sejurus menerima banyak aduan tersebut kerana pelanggaran banyak peraturan dan saya telah memanjangkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










