PETALING JAYA: Pemantauan perlu dilakukan dalam pasaran selepas pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus supaya tidak menjadi pendorong kepada pihak peniaga untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan, kata penganalisis.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, jika penjawat awam menerima gaji yang lebih dan berbelanja tanpa simpanan, seterusnya akan mengakibatkan kenaikan inflasi dan kadar pinjaman.
“Sehubungan itu, jika tidak dikawal ia ada mengalami kenaikan (barangan dan perkhidmatan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, berdasarkan rekod, lebih 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan.
=“Jika ada dahulu (kenaikan) untuk gred bawah dan bukan untuk semua gred termasuk Jusa dan sebagainya.
“Oleh itu, penjawat awam perlu mengawal belanja dan digalakkan menyimpan wang di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji selepas ada penyelarasan gaji,” katanya.
Beliau juga turut menjelaskan, gaji bagi kakitangan swasta juga perlu dikaji semula mengikut keadaan semasa ekonomi negara.
“Hal ini kerana, sekiranya pekerja swasta tidak naik, maka akan berlaku ketidaksamarataan dalam pendapatan berbanding sektor awam.
“Berkemungkinan ramai akan berpindah ke Singapura dan negara lain iaitu terdapat pendapatan lebih tinggi. Oleh itu, gaji perlu mengikut perkembangan situasi ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, pengumuman penyelarasan itu tepat pada masanya kerana masyarakat sedang bergelut dengan gaji yang rendah.
“Dengan kenaikan pekerja sektor awam, kerajaan dilihat memimpin dan bukannya mengharapkan sektor swasta memacu kenaikan tersebut.
“Kini, pasaran kerja di Malaysia sangat cekap. Apabila gaji dalam satu sektor meningkat, ia akan memacu kenaikan secara automatik merentas semua sektor dan gaji minimum tidak relevan lagi,” katanya.
Jelas beliau, selepas pelarasan gaji penjawat awam ini akan boleh memacu produktiviti mereka seterusnya, menyebabkan perniagaan menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk menarik dan mengekalkan bakat sedia ada.
“Oleh itu, campur tangan yang betul adalah untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja kita, termasuk menyediakan pembiayaan kos rendah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Perlu juga ada pembaharuan undang-undang buruh untuk membolehkan pengambilan pekerja yang lebih cekap dan menggalakkan perniagaan untuk memberikan faedah yang lebih baik kepada pekerja,” jelasnya.-UTUSAN










