Samun: Lapan penjenayah termasuk tiga wanita ditahan

Samun: Lapan penjenayah termasuk tiga wanita ditahan

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji menunjuk barangan ragut melibatkan kes samun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun dan ragut ke atas pelancong dan pengunjung di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu negara, tumpas dengan penahanan lapan individu termasuk tiga wanita pada 28 Mac dan Isnin lalu.

Kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan dan dua lokasi di ibu negara menerusi Operasi Rentap Trio.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati kumpulan tersebut dipercayai terbabit dalam 40 kes samun dan ragut serta lima kes curi motosikal di ibu negara, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. 

Katanya, 21 kes daripada jenayah dipercayai dilakukan sekitar ibu negara. 

“Tiga daripada suspek termasuk seorang wanita, ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Teluk Kemang, 28 Mac lalu.

“Hasil soal siasat ke atas semua suspek, kita berjaya menahan lima lagi suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita di sekitar ibu negara, Isnin lalu. 

“Seorang wanita yang ditahan berperanan sebagai pembeli barang kemas hasil samun dan ragut, manakala dua lagi wanita yang ditahan adalah teman wanita kepada dua suspek lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Menurut Habibi, siasatan mendapati kumpulan tersebut bukan sahaja aktif melakukan samun dan ragut di ibu negara, malah di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan selain melakukan jenayah curi motosikal.

Jelas beliau, siasatan mendapati tiga suspek lelaki adalah dalang utama yang dikenal pasti kerap melakukan samun dan ragut terhadap pengunjung di beberapa lokasi tumpuan pelancong di ibu negara termasuk sekitar Suria KLCC dan Jalan Ampang di sini.

Habibi berkata, kumpulan tersebut yang aktif sejak awal tahun ini menjual barang-barang kemas hasil ragut dan samun kepada seorang wanita yang juga peniaga emas berlesen.

‘Tujuh suspek kini direman sehingga esok dan kita sudah dapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tuduh kesemua suspek di mahkamah, esok.

“Seorang lagi suspek, iaitu wanita peniaga emas dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Habibi berkata, di Mahkamah Kuala Lumpur, esok, tujuh suspek akan dituduh untuk 18 kes yang berlaku di ibu kota, selain dituduh di Mahkamah Melaka dan Negeri Sembilan, masing-masing dengan enam dan empat kes.

Menerusi tangkapan itu juga, katanya polis turut merampas sembilan motosikal, helmet, pakaian digunakan semasa melakukan jenayah serta pelbagai resit jualan barang kemas.

“Ujian saringan air kencing mendapati lima suspek iaitu tiga lelaki lelaki dan dua wanita didapat positif dadah dan kesemua lima suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu rompak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, statistik Polis Kuala Lumpur menunjukkan jumlah kes samun dan ragut di ibu negara sepanjang 1 Januari hingga 31 Mac lalu, meningkat 144 peratus kepada 176 kes daripada 72 kes tempoh sama tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, Polis Kuala Lumpur meningkatkan pemantauan dan operasi bagi menangani kes berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×