Mata terkunci melihat keindahan dekorasi dewan perkahwinan serba putih. Semerbak harum menjentik rasa cinta dari hati. Melihat kedua mempelai di atas pelaminan bak kayangan, senyuman terukir sendiri.
Akhirnya, segala teka teki yang riuh berkicau di serata media sosial pulang ke sarangnya. Neelofa dan Haris Ismail akhirnya disatukan dengan sekali lafaz. Cinta kini menjadi satu. Berjanji setia hingga hujung usia.
Ceritera cinta mereka sebelum mencetuskan seribu tanda tanya. Pelbagai spekulasi bertebaran. Yang baik dan buruk seolah-olah bersaing sendiri. Namun semua itu disimpan rapi dalam peti kenangan sahaja.
Apa juga yang berlaku, sudah ketentuan jodoh disusun Tuhan. Mereka ikhlas berjanji setia. Menikmati kebahagiaan suami isteri yang diimpikan keduanya. Sebaiknya, doa kita panjatkan untuk mereka dan kita semua.

Berpeluang menghirup udara sama dengan mempelai dalam dewan serba mewah ini, ada perkara yang cukup menghibakan penulis. Mengenali rapat pengacara dan pelakon popular, Neelofa ini, seadilnya dia memperoleh cinta sejati.
Beberapa kali impian perkahwinannya terkubur di tepian jalan. Pusara yang dibina mungkin masih ada dalam segelintir kita. Namun adalah elok jika kita lipat sahaja semua itu dalam kotak sejarah.
Penulis masih ingat kali terakhir kami berbual soal perkahwinan. Apa yang dia inginkan hanyalah kebahagian dunia akhirat. Semoga jejaka yang dipilih Tuhan memimpin tangannya ke jalan Allah.
Kali ini, sebagai sahabat, penulis tersenyum sendiri. Melihat jari-jarinya akhirnya digenggam kemas oleh seorang lelaki. Kebahagiaan itu terserlah. Senyuman tidak lekang disimpul, tatkala memandang wajah Haris.
Buat Neelofa dan Haris, selamat pengantin baharu. Secocok tema Jabal ar-Rahmah, semoga jodoh kalian kekal hingga pintu syurga. Semoga masjid yang dibina berseri dengan haruman mekar cinta dan bahagia hingga akhirnya. Amin.
Lemah lembut, matang pikat hati
Tiada siapa yang menduga, perkenalan atas tujuan menyampaikan dakwah sekitar 2017 menjadi titik mula hubungan mereka. Namun ketika itu, bibit-bibit cinta belum hadir menyeri laman hati masing-masing.
Beberapa tahun selepas itu, hubungan mereka ternoktah sementara. Tetapi setahun yang lalu, hati dan budi masing-masing saling mengenali sehingga membawa cinta itu ke jenjang pelamin, menyempurnakan aturan jodoh.
“Saya mula mengenali Haris pada 2017. Sekitar Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek.
“Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian. Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing,” kata Neelofa.
Membuka bicara soal Haris, anak kelahiran Kelantan ini menyifatkan suaminya sebagai lelaki sempurna yang mampu membawa dia ke pintu syurga. Sifat lemah lembut dan matang, menjadi kunci membuka hati.

“Dia seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal. Itu membuatkan saya berasa selesa.
“Dia juga seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran dan masalah,” kata Neelofa.
Diaju soalan berhubung kehidupan selepas bergelar isteri, Neelofa belum meletakkan noktah untuk kerjaya seni dan dunia perniagaan. Tiada istilah berehat dalam kamus hidupnya lantaran tugas yang sudah berbukit tersusun.
“Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung.
“Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga,” katanya.

Memikul tanggungjawab sebagai isteri bukan satu tugas mudah namun, jutawan muda ini sudah bersiap siaga. Dia banyak menghadiri kelas dan menimba ilmu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Betul, selain banyak membaca, saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan-rakan terdekat, banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan.
“Dalam masa yang sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelas- kelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga,” ujarnya.
Sebelum ini pasangan tersebut telah mengikat tali pertunangan pada 2 November lalu dalam sebuah majlis tertutup hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak. – Pancaindera










