‘Gaji ahli Parlimen RM25,000 habis untuk rakyat’

‘Gaji ahli Parlimen RM25,000 habis untuk rakyat’

Ahli Parlimen pembangkang terpaksa menggunakan wang sendiri ketika menyantuni rakyat kerana tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang terpaksa menggunakan simpanan sendiri bagi menanggung rakyat di kawasan mereka kerana tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor berkata, keadaan itu bukan sahaja membuatkan ahli Parlimen pembangkang dalam keadaan yang susah, malah rakyat juga terkesan apabila tidak mendapat bantuan yang merupakan hak mereka.

“Saya boleh cakap RM25,000 itu hanya untuk rakyat. Gaji kita, kita pun tak dapat apa-apa. Pengurusan di pusat khidmat lagi, bayar gaji staff lagi, rakyat datang secara kecemasan, ada rumah yang terbakar, banjir disebabkan air termenung, takkan saya tidak beri kepada mereka?

“Orang meninggal, orang kahwin, saya perlu beri kepada mereka. Kita minta banyak kali pun, apabila kerajaan sudah tidak mahu beri, rakyat sendiri pun sudah reda dengan apa yang berlaku, apa yang saya dapat itulah duit untuk saya makan, itu juga duit untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, perbelanjaan paling besar yang dibuat dengan peruntukan terhad adalah program ‘Back to School’.

“Untuk saya yang ahli Parlimen pembangkang tiada peruntukan, RM30,000 itu besar untuk Program Back to School. Itu pun hanya sebahagian yang dapat daripada 300,000 rakyat Ketereh,” ujarnya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata, kebanyakan ahli Parlimen pembangkang adalah golongan B40 sehingga terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk menyara keluarga dan rakyat di kawasan.

“Kita ini bukan ahli Parlimen kaya macam UMNO yang merupakan ahli perniagaan, ada tender sana sini, kita ramai yang mengharapkan gaji ahli Parlimen sahaja.

“Ada yang jual kereta, buat pinjaman, sebab terpaksa..takkan wakil rakyat tak tolong rakyat di kawasan? Setengah gaji kita pun iaitu RM10,000 habis pada pusat khidmat setiap bulan, jadi RM15,000 untuk kita dan rakyat. Cukupkah?” soalnya.

Semalam, Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sudah siap dan terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk membincangkannya dengan pihak berkaitan.

Jelasnya, ini kerana peranan tersebut telah diputuskan untuk diberi kepada Fadillah dan pembangkang hanya perlu menunggu sahaja untuk dipanggil berbincang membabitkan perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN