Skuad wanita tepati ramalan pulang awal

Skuad wanita tepati ramalan pulang awal

PEARLY Tan-M. Thinaah berdepan laluan sukar di Sukan Olimpik Paris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak pasti di mana yang tidak kena dengan skuad badminton wanita negara, apabila sering kali pulang awal daripada kejohanan dan kali ini dalam saingan Piala Uber 2024.

Semalam skuad wanita negara ‘menepati’ ramalan apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di tempat ketiga.

Skuad badminton wanita negara terselamat daripada menghuni tangga ter­corot selepas mengatasi Austra­lia 4-1 dalam saingan Kumpulan B Piala Uber, semalam.

Kejayaan itu merupakan kemenangan pertama skuad negara selepas tewas 5-0 kepada Thailand dan 4-1 kepada Taiwan di peringkat awal saingan.

Skuad wanita yang rata-rata diwakili pemain yang mentah pengalaman gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian mara ke suku akhir pada tiga edisi sebelum ini 2004, 2008 dan 2010.

Ketika ini, satu-satunya yang disandarkan harapan menerusi No. 1 negara yang menghuni ranking No. 14 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang tidak disenaraikan kerana memberi tumpuan kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Semalam, Malaysia memperoleh mata menerusi pemain perseorangan, Goh Jin Wei, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi, serta, beregu, Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi.

Kapten pasukan, Teoh Mei Xing yang berpasangan dengan Go Pei Kee tunduk di tangan pasangan ke-32 dunia, Setyana Mapasa-Angela Yu 15-21, 17-21.

Mei Xing ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir memohon maaf kerana gagal menyumbang mata buat negara.

“Pasukan yang beraksi pada Piala Uber kali ini rata-rata masih muda, bagi kami masa dua tahun lagi untuk tampil dengan sebuah pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya.

Ling Ching, 20, turut senada dengan Mei Xing dan melahirkan keyakinan pengalaman kali pertama beraksi pada Piala Uber tahun ini diharap dapat membantunya berkembang dengan lebih baik pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×