PETALING JAYA: Pengarah, Shahrulezad Mohameddin kecewa apabila drama arahannya, Khunsa ditayangkan secara percuma dan berleluasa di media sosial dan Internet.
Kata Shahrul yang mesra dengan panggilan budak Ijat itu ,pihaknya telah melakukan pelbagai usaha, termasuk menyerahkan segala bahan diperlukan bagi membantu pemilik hak cipta drama berkenaan iaitu Astro membuat aduan kepada pihak berwajib.
“Astro memang kena bertindak kerana cabarannya sekarang semakin besar, lebih-lebih lagi apabila semakin banyak platform tidak sah yang menyiarkan drama atau filem secara percuma. Satu laporan dibuat, muncul yang lain. Begitulah keadaannya.
“Ia menjadi luar kawalan. Saya pun tak pasti macam mana pihak berwajib nak mengekang kegiatan ini.
“Contoh Telegram yang menjadi platform popular menonton filem dan drama percuma. Sukar untuk kekang kerana mereka tidak berpangkalan di Malaysia,” katanya.
Kata Shahrulezad, orang industri dan masyarakat perlu saling mengingatkan tentang kesalahan tersebut kerana kesedaran tentangnya terlalu rendah.
“Kempen kesedaran tentang isu ini pun kurang. Apatah lagi penglibatan golongan agamawan yang menegur tentang perkara ini, juga masih kurang. Mungkin pada mereka isu begini tidak serius.
“Hakikatnya, kegiatan seperti ini sudah membarah. Bayangkan, sebuah saluran di Telegram yang menayangkan drama dan filem percuma mampu mengumpul sehingga 600,000 subscriber dalam masa singkat.
“Permintaan untuk menonton drama dan filem percuma memang tinggi. Keadaan itu cukup menakutkan penerbit dan stesen televisyen,” kongsinya lagi.











