PETALING JAYA: Polis mengesahkan Papagomo yang ditahan hari ini di Setapak akan direman pagi esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Ketika dihubungi berkata, lelaki berusia 41 tahun itu atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris akan dibawa ke mahkamah esok.
“Esok akan bawa ke mahkamah untuk reman,” katanya ringkas.
Terdahulu, Razarudin mengesahkan tangkapan Papagomo di kediamannya di Setapak, Wangsa Maju oleh sepasukan anggota polis.
Katanya tangkapan ke atas suspek dibuat selepas disyaki mengeluarkan satu kenyataan dalam bentuk video yang berunsur mengaibkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurutnya, ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, Papagomo menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat memaparkan kenyataan individu terbabit berhubung isu KK Mart sambil mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong berjumpa dengan pemilik KK Mart.
Selain itu, dalam video terbabit turut lelaki berkenaan turut didakwa membuat tuduhan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong yang mengarahkan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, 45, dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948. – UTUSAN











