PUTRAJAYA: “Macam-macam kes (saya disiasat), saya pun tak pasti,” kata Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli.
Itu kenyataan ringkas Mohd. Shukri selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 6.50 petang tadi.
Mohd Shukri berkata demikian selepas disoal wartawan berhubung beliau disiasat mengikut seksyen apa oleh SPRM hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula untuk dirakam percakapan, Mohd Shukri berkata, beliau memaklumkan tidak lagi dipanggil untuk berbuat demikian.
“Tak ada.. tak ada,” katanya.
Menurut sumber, Mohd Shukri ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi semasa beliau hadir untuk dirakamkan percakapan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Setelah lapan jam, beliau dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dipercayai beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penangkapan Menteri Besar Perlis itu.
Minggu lalu, SPRM menahan anak Mohd Shukri dan lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen dan tuntutan palsu membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.
Kes berkaitan pemalsuan dokumen untuk membuat tuntutan palsu sedang disiasat selepas projek membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini tidak dijalankan. – UTUSAN











