KUALA LUMPUR: Berita gembira buat atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif apabila Institut Sukan Negara (ISN) memberi keyakinan kecederaan yang dialaminya sempat pulih sebelum bermula Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pakar perubatan ISN akan berusaha sehabis baik untuk membantu Nur Shazrin, khusus untuk melihat beliau beraksi di Paris pada Julai nanti.
“Kami akan buat berasaskan siasatan daripada imbasan kecederaan (Nur Shazrin). Kita ada dalam tiga bulan lagi dan saya optimis (pulih),” kata Ahmad Faedzal kepada pemberita, semalam.
Terdahulu, Nur Shazrin memberi bayangan kemungkinan terpaksa melupakan penampilan di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mengalami kecederaan tangan kanan ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis.
Untuk rekod, Nur Shazrin mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.
Paris 2024 bakal menjadi penampilan ketiga Nur Shazrin di temasya Olimpik selepas menyertai temasya di Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Mengulas lanjut, Ahmad Faedzal berkata, Nur Shazrin ketika ini dalam proses pemulihan dan atlet berusia 26 tahun itu akan terus dipantau dengan kerjasama barisan kejurulatihan.
“Buat masa ini tak ada keputusan untuk tarik diri dan kita masih dalam berbincang dengan pasukan untuk proses pemulihan atlet,” kata Ahmad Faedzal. – UTUSAN










