MHO bimbang banyak kes tipu pelaburan digugur

MHO bimbang banyak kes tipu pelaburan digugur

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) ketika penyerahan surat aduan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) melahirkan kebimbangan apabila banyak kes penipuan pelaburan yang digugurkan secara tiba-tiba.

Ia susulan aduan ramai mangsa terkilan mendapati pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis (JSJK) Bukit Aman dilihat tidak lagi mahu meneruskan proses seterusnya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim yang risau Malaysia bakal menjadi pusat penipuan atau ‘scammer’ seperti di negara luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayangkanlah kami terkejut diberitahu ada seorang saksi pendakwaan boleh tarik balik kes dan akhirnya semua kes berkaitan digugur tanpa dilepaskan,” katanya selepas bersama 214 mangsa jenayah itu hadir bagi penyerahan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk merayu agar kes mereka dibuka semula.

Sebahagian besar merupakan warga emas yang merekodkan nilai keseluruhan kerugian mencecah RM31.4 juta akibat ditipu skim pelaburan melibatkan dua syarikat berlesen.

“Mangsa telah buat aduan kepada JSJK di beberapa ibu pejabat polis daerah tetapi pelik kes seolah-olah dibatal sebelum rujuk kepada peringkat tertinggi di Bukit Aman,” jelasnya.

Malangnya tambah beliau, laporan mereka langsung tiada maklum balas dan paling aneh apabila sejumlah 113 kes itu diklasifikasikan pula sebagai dibebaskan tanpa dilepaskan.

JSJK katanya, seperti tidak mahu menilai aduan berkenaan mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah apabila merujuk kes mereka kepada kes lain yang sudah ditarik balik.

Langkah berkenaan tegas Hishamuddin seolah-olah menafikan pula hak keadilan kepada mangsa yang terus kekal dengan aduan mereka tetapi dianggap sebagai telah selesai.

“Justeru, MHO bantu mangsa dengan bawa kes ini kepada pihak AGC bagi mengarahkan JSJK buka balik fail untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap AGC mempertimbangkan agar semua pertuduhan kes dibuat secara individu berasingan dengan tidak merujuk kepada kertas siasatan yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×