PETALING JAYA: Syarikat pembuat sarung tangan dijangka mencatatkan pertumbuhan positif untung bersih suku ke suku pada laporan suku tahunan Mac, kata RHB Investment Bank Berhad.
Bank pelaburan itu berkata, ini adalah berdasarkan peningkatan dalam nilai eksport (suku pertama 2024: naik 10 peratus) serta harga jualan purata yang stabil (AS$20 setiap 1,000 keping) diimbangi penguncupan enam peratus dalam bilangan.
Katanya, pihaknya kekal dengan penarafan ‘overweight’ bagi sektor produk getah.
“Kami menjangkakan kos operasi meningkat lebih tinggi pada suku pertama 2024, dengan mengambil kira semakan tarif gas terkini yang naik empat ke lima peratus pada Januari.
“Peningkatan kos harga getah asli dan akrilonitril (24 peratus dan 0.7 peratus suku ke suku) yang diimbangi pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit (naik 0.5 peratus).
“Namun, kami menjangkakan Top Glove Corp Bhd. akan terus mencatatkan kerugian bagi suku pelaporan Mac memandangkan ia mempunyai pendedahan tertinggi dalam segmen sarung tangan lateks asli,” katanya.
Melangkah ke hadapan, firma menjangkakan volum jualan meningkat secara berurutan memandangkan dinamik permintaan penawaran yang lebih seimbang menjelang separuh kedua 2024.
Jelasnya, ini seterusnya akan membawa kepada peningkatan dalam keuntungan pembuat sarung tangan.
“Dengan lebihan kapasiti industri yang beransur-ansur dihapuskan, keseimbangan permintaan penawaran dijangka dicapai menjelang akhir 2024.
“Kami juga menjangkakan risiko persaingan harga dari China akan berkurangan secara beransur-ansur berikutan kebimbangan kualiti yang mengakibatkan kadar penolakan yang lebih tinggi daripada Pentadbiran Makanan & Ubat-ubatan (FDA) AS, dan perubahan pendirian pemain China ke arah kemampanan,” ujarnya.
Tambahnya, pilihan utama firma tersebut bagi sektor ini adalah Riverstone Resources Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd.-UTUSAN










